Tidak sehaluan dengan Hadi, 17 AJK PAS Kawasan Batu bermufarakah dari kepimpinan PAS Pusat

Irwan Muhammad Zain
Mac 16, 2015 04:12 MYT
17 daripada 25 Ahli Jawatan Kuasa (AJK) PAS Kawasan Batu mengambil keputusan drastik dengan bermufarakah dari kepimpinan PAS sedia ada.
17 daripada 25 Ahli Jawatan Kuasa (AJK) PAS Kawasan Batu mengambil keputusan drastik dengan bermufarakah dari kepimpinan PAS yang ada sekarang.
Yang Dipertua PAS Batu, Ishak Surin berkata keputusan itu dibuat kerana kecewa dengan sikap kepimpinan PAS Pusat khususnya presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Katanya, Abdul Hadi gagal bertindak menangani isu-isu dalaman sehingga tercetusnya krisis yang berlarutan dalam parti.
"Krisis yang sudah menjadi rahsia umum ini, merupakan krisis paling teruk sejak kepimpinan ulama diperkenalkan pada tahun 1982 selepas Presiden PAS ketika itu, Datuk Mohd Asri Muda dijatuhkan, kira-kira 30 tahun yang lalu.
"Setelah meneliti beberapa perkembangan muktahir, harapan besar kami agar PAS kembali stabil ternyata meleset, sebaliknya lebih meruncing parah ekoran kempen-kempen menghadapi pemilihan kawasan untuk Muktamar Tahunan PAS kali ke-61 Jun ini.
"Maka kami mengambil tindakan 'bermufarakah' (berundur diri) dari kepimpinan PAS sedia ada, dan juga 'bermufarakah' daripada memimpin PAS kawasan Batu, sehinggalah kepimpinan PAS positif kepada realiti sebenar, stabil dan ikatan ukhwah kembali segar sesama ahli dan rakan-rakan Pakatan Rakyat," katanya pada sidang media dii Madrasah Tarbiah, di sini, hari ini.
Katanya, tindakan drastik itu diambil berdasarkan beberapa situasi, antaranya ialah kegagalan Abdul Hadi menjadi pendamai kepada krisis dalam parti.
Selain itu, beliau menjelaskan, 17 AJK PAS Batu yang membuat keputusan bermufarakah itu juga kecewa keputusan PAS Pusat yang 'flip-flop' dalam isu pemilihan Menteri Besar Selangor tahun lepas dan pendirian sebenar PAS dalam isu 'kerajaan perpaduan'.
Ishak juga menegaskan mereka tidak mempunyai sebarang masalah dengan Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu dan tiga naib presiden parti itu.
"Tumpuan hanya kepada presiden sahaja," katanya lagi.
PAS akan mengadakan pemilihan untuk jawatan pimpinan parti itu pada muktamar ke-61 awal Jun depan di Kuala Selangor.
Sehingga kini, Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa layak bertanding jawatan nombor satu parti itu selepas mendapat dua pencalonan yang disyaratkan.
Husam mendapat pencalonan dari PAS Kota Tinggi dan Batu Sapi, manakala PAS Shah Alam mencalonkan Abdul Hadi sementara PAS Kota Bharu menamakan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man untuk jawatan presiden.
Tuan Ibrahim bagaimanapun menolak pencalonan tersebut tetapi menyatakan kesediaan untuk bertanding jawatan timbalan presiden.
#Abdul Hadi Awang #AJK #Batu #PAS #presiden