Tidak salah PM terus pegang jawatan Menteri Kewangan - Nik Nazmi

Astro Awani
Julai 25, 2023 22:24 MYT
Nik Nazmi menjelaskan, terdapat perkara-perkaara melibatkan ekonomi dan kestabilan yang memerlukan Perdana Menteri terus memegang jawatan Menteri Kewangan. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Situasi ekonomi yang masih mencabar menyebabkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim wajar untuk terus memegang dua portfolio.
Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Nik Nazmi Nik Ahmad menjelaskan, terdapat perkara-perkara melibatkan ekonomi dan kestabilan yang memerlukan Perdana Menteri terus memegang jawatan Menteri Kewangan.
Nik Nazmi berkata demikian ketika menjawab soalan adakah wajar Anwar melepaskan jawatan Menteri Kewangan selepas enam pilihan raya negeri.
"Pada saya tidak perlu untuk Perdana Menteri melepaskan jawatan Menteri Kewangan selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti.
"Bagi saya kerana buat masa ini situasi ekonomi itu masih lagi mencabar dan kerajaan ini juga walaupun ada majoriti dua pertiga, tetapi ia juga merupakan ia satu yang agak baru di Malaysia iaitu post electoral coalition.
"Jadi atas dasar itu saya merasakan ada beberapa kepentingan dari sudut ekonomi, dari sudut kestabilan yang memerlukan Perdana Menteri terus memegang jawatan Menteri Kewangan," katanya ketika ditemu bual dalam podcast Keluar Sekejap yang dikendalikan Khairy Jamaluddin dan Shahril Hamdan.
Ditanya tentang peluang Pakatan Harapan (PH) untuk menawan Kelantan, Nik Nazmi menjelaskan gabungan itu mampu melakukan perkara itu dalam tempoh lima tahun akan datang biarpun pengundi di negeri tersebut dikenali dengan budaya politiknya sendiri.
Nik Nazmi menjelaskan, perkara tersebut boleh dilakukan jika mengambil pendekatan yang dapat menawan hati pengundi.
Beliau memaklumkan, biarpun pengundi di Kelantan dilihat selesa dengan Pas, tetapi ia bukan sesuatu yang berkekalan.
"Bagi saya dalam tempoh lima tahun lagi, jika diberikan masa, kita boleh ambil alih Kelantan dengan secara konsisten.
"Of course Kelantan ada budaya dia, dia lain dari negeri lain, tetapi kalau kita address the issues tetapi ambil pendekatan yang ambil hati, ia boleh," katanya.
Beliau juga tidak menolak kerjasama PH dan Barisan Nasional (BN) membantu untuk mengambil alih Kelantan pada masa depan.
"Ya sudah tentu membantu sebab macam saya kata kita kena akui bahawa PH ada beberapa kawasan yang kita tidak kuat.
"Di Kelantan dan Terengganu ni kita tengok UMNO ada base yang lebih baik berbanding Pakatan Harapan," katanya lagi.
#Nik Nazmi Nik Ahmad #Anwar Ibrahim #Perdana Menteri #Menteri Kewangan
;