[TIDAK RASMI] PN sapu bersih di Terengganu, dua bekas Menteri Besar kecundang

Umavathi Ramayah
Ogos 12, 2023 22:20 MYT
Perikatan Nasional (PN) menyapu bersih kesemua 32 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen Kuala Terengganu. - Gambar hiasan
KUALA TERENGGANU: Perikatan Nasional (PN) menyapu bersih kesemua 32 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen Kuala Terengganu, dengan dua bekas Menteri Besar Terengganu dari UMNO kecundang.
Datuk Seri Ahmad Said gagal mempertahankan kerusi DUN Kijal yang disandangnya selama sembilan penggal, pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.
Beliau yang merupakan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu tewas kepada Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Razali Idris yang menang bergaya dengan majoriti undi 3,758 undi dalam pertembungan satu lawan satu.
Razali berjaya memperoleh 13,403 undi, manakala Ahmad hanya mendapat 9,645 undi.
Pada PRU14, dalam pertembungan tiga penjuru, Ahmad menang dengan jumlah undi sebanyak 9,545.
Ahmad menyandang kerusi DUN Kijal sejak 1990 selama sembilan penggal pernah dikalahkan Mehamed Sulong daripada Pas pada tahun 1999 dengan hanya 264 undian.
Sementara itu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman turut tewas kepada calon Perikatan Nasional (PN), Khazan Che Mat dengan majoriti 2,797 undi di DUN Seberang Takir.
Ahmad Razif sebelum ini penyandang tiga penggal di DUN Seberang Takir.
#PRN #Perikatan Nasional #sapu bersih #DUN #Kuala Terengganu
;