Tidak perlu undi percaya, keabsahan PM diperakui ketika angkat sumpah - Pakar Perlembagaan

Irwan Muhammad Zain
Ogos 21, 2021 15:30 MYT
Pelantikan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri sudah sah, undi percaya di Dewan Rakyat hanyalah untuk mendapatkan sokongan politik. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Undi percaya terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Dewan Rakyat tidak perlu dilakukan kerana keabsahannya sudah diperakui ketika Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia di Istana Negara, pada Sabtu.
Menurut Penyandang Kursi Institusi Raja-Raja Melayu, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Profesor Datuk Shamrahayu Ab. Aziz, sekiranya undi percaya dilakukan, ia hanyalah proses mengukuhkan sokongan terhadap Perdana Menteri.
Profesor Shamrahayu turut menjelaskan, dalam Perlembagaan tidak menyatakan bahawa perkenan Yang di-Pertuan Agong perlu diuji di Dewan Rakyat.
"Secara fahamnya, sekiranya seorang Perdana Menteri itu telah mengangkat sumpah, maka jawatan itu telah sah.
"Lagipun dalam Perlembagaan kita ia tidak menyatakan syarat bahawa perkenan Tuanku (Yang di-Pertuan Agong) itu should be tested in the Parlimen.
"Kita tidak perlu lagi mengesahkan perkenan Tuanku itu, sebenarnya perkenan Tuanku secara legal suatu pelantikan yang sah," katanya ketika ditemu bual dalam Buletin AWANI Khas di Saluran 501, di sini, pada Sabtu.
[LAPOR LANGSUNG] Ismail Sabri PM ke-9
BACA: Ismail Sabri angkat sumpah jawatan PM ke-9 di Istana Negara
Tidak perlu undi percaya, PM sudah diabsahkan ketika angkat sumpah - Pakar
[INFOGRAFIK] Profil Datuk Seri Ismail Sabri
Sehubungan itu, Profesor Shamrahayu berharap, tiada mana-mana pihak yang cuba membangkitkan tentang keabsahan pelantikan Perdana Menteri seperti mana yang berlaku sebelum ini.
Berkongsi pandangan yang sama, peguam Datuk Salehuddin Saidin menjelaskan, pelantikan Perdana Menteri yang dibuat mengikut lunas undang-undang itu telah sah.
"Proses itu (lantikan Perdana Menteri) ada dua, satu di Parlimen dan satu lagi di peringkat Yang di-Pertuan Agong.
PM ke-9 | Pelantikan PM selaras Perlembagaan
"Kedua-duanya, adalah mengikut lunas undang-undang, andai kata satu mekanisme telah diambil iaitu dengan memilih seorang Perdana Menteri mengikut Perkara 43 maka tidak perlu lagi kita pergi ke Parlimen untuk mengabsahkan lagi kerana ia telah sah," katanya.
Jelas beliau, Ismail Sabri yang dilantik sebagai Perdana Menteri kesembilan sepatutnya diberikan peluang untuk melaksanakan tanggungjawab bagi memastikan kerajaannya stabil.
Beliau menegaskan, sekiranya kestabilan kerajaan diganggu, rakyat akan menanggung akibat ketika negara berdepan krisis kesihatan dan ekonomi.
#ismail sabri yaakob #Perdana Menteri #Dr Shamrahayu Ab Aziz #Salehuddin Saidin #keabsahan #Dewan Rakyat
;