Tidak perlu umum calon MB Selangor dari PN - Muhyiddin

Fareez Azman
Jun 17, 2023 21:27 MYT
Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin menjelaskan tidak perlu mengumumkan calon Menteri Besar (MB) baharu untuk Selangor ketika ini. - Foto Facebook Muhyiddin Yassin
SHAH ALAM: Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin menjelaskan tidak perlu mengumumkan calon Menteri Besar (MB) baharu untuk Selangor ketika ini.
Ujarnya, PN telah mengenal pasti tokoh-tokoh tertentu dan akan mengumumnya apabila berjaya menakluk negeri itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
"Kita (PN) tak perlu umumkan (calon MB Selangor)... pada prinsipnya senarai kita kenal pasti, (ada) ramai tokoh-tokoh dan nanti sampai masa yang sesuai, tahu lah siapa MB-nya Insya-Allah apabila kita menang (PRN)," jelasnya.
Ditanya mengenai sasaran kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor yang dijangka dimenangi PN, ujar Muhyiddin, kerusi-kerusi DUN terbabit telah dikenal pasti.
"Pokoknya asal menang, kita tak payah sebut pasal ktia tahu kerusi-kerusi DUN yang kita tahu ada kelebihan iaitu kerusi majoriti Melayu dan campuran, semua kita dah kenal pasti.
"Kita dah buat kajian secara terperinci, bukan sahaja rambang kita lihat satu per satu kerusi di Selangor. Di Selangor ada 56 kerusi nak capai kemenangan... mesti kena ada 28 campur satu kerusi, saya tak payah nak sebutkan," katanya lagi.
Mengulas mengenai calon-calon muka baharu, katanya PN akan membawa keseimbangan calon lama dan baharu untuk menepati citarasa pengundi.
"Itu satu daripada perkara yang kita berikan perhatian, ada perimbangan yang lama dan baru. Pasti semua ada kelayakan, berhemah dan lain-lain adalah penting.
"Ambil kira penyertaan wanita dan orang muda, bukan sahaja di Selangor tapi seluruh negara. Kita ambil kira faktor itu sebab kita nak menunjukkan bahawa kita ini ambil perkara seimbangkan memenuhi citarasa seluruh negeri-negeri," jelasnya lagi.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Pelancaran Jentera Pemuda PN di Shah Alam, Selangor pada Sabtu.
#PRN #Muhyiddin Yassin #calon MB Selangor PN #Perikatan Nasional
;