Tidak perlu langgar undang-undang walaupun pendapat diraikan - Ermieyati

Rahimah Abdullah
November 14, 2016 16:17 MYT
ERMIEYATI: "Dalam usaha kita untuk meraikan pendapat, meraikan pernyataan, tidak perlu perbuatan atau tatacara yang melanggar undang-undang." - Gambar fail
Puteri UMNO menolak sebarang perbuatan yang melanggar undang-undang walaupun setiap pendapat atau kenyataan mana-mana pihak diraikan.
Ketuanya, Datuk Mas Ermieyati Samsudin pada masa sama berkata, sayap itu memilih untuk melakukan perkara positif berbanding mengadakan perhimpunan yang banyak menimbulkan pelbagai reaksi banyak pihak.
Beliau yang juga Timbalan Menteri Pelancongan mengulas kekecohan yang berlaku di Ampang pada Ahad melibatkan ketua kumpulan Baju Merah, yang juga Ketua Bahagian UMNO Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunus yang mendakwa diserang dan ditumbuk oleh 'budak Zuraida' di Ampang seperti dilaporkan Malaysiakini.
"Saya melihat bahawa negara ini adalah demokrasi. Namun dalam usaha kita untuk meraikan pendapat, meraikan pernyataan, tidak perlu perbuatan atau tatacara yang melanggar undang-undang. Sebab itu, saya melihat hari ini (persidangan) adalah satu perkara yang cukup positif," katanya ASEAN Pink Dialogue 2016 di sini hari ini.
Sebagai contoh, beliau mengalu-alukan pendapat dari pelbagai negara dan kemudian disusuli dengan tindakan yang berlandaskan undang-undang yang ditetapkan.
"Sebarang perhimpunan yang katanya aman dan sebagainya, yang masih memberi persepsi yang kadang-kadang atau tanggapan yang berbeza-beza daripada semua pihak," tambahnya.
Dalam pada itu, Ketua Wanita UMNO, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil yang ditemui pada majlis sama enggan mengulas lanjut apabila ditanya mengenai pendirian Wanita UMNO terhadap tindakan Jamal berkenaan.
Kejadian kira-kira 4 petang itu berlaku ketika Jamal bersama kumpulannya mengekori anggota Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin serta pengikutnya yang sedang mempromosi perhimpunan Bersih di sebuah pusat beli-belah.
#Jamal Yunus #Mas Ermieyati Samsudin #Puteri UMNO #Timbalan Menteri Pelancongan
;