Tidak mustahil Wanita PKR boleh jadi Perdana Menteri - Zuraida

Wan Syamsul Amly
November 16, 2018 18:30 MYT
Ia perubahan besar yang berlaku selepas sayap parti itu berjuang sejak lebih 20 tahun lalu. - Foto Astro AWANI/Shahir Omar
Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) percaya tidak mustahil ahli sayap itu menjadi Perdana Menteri ke-10, 11 atau 12 selepas mempunyai ilmu dan pengalaman yang cukup untuk menjadi pemimpin.
Bekas Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin berkata, ia perubahan besar yang berlaku selepas sayap parti itu berjuang sejak lebih 20 tahun lalu.
"Ia tidak mustahil, 20 tahun lalu semua comot-comot belaka, comot sebab tak ada ilmu, sekarang wanita dah ada ilmu.
"Kamu sudah di sana, kamu ada potensi, ia contoh, Jangan takut. Tidak mustahil wanita menjadi perdana menteri, ke-10, 11 atau 12," katanya semasa ucapan penggulungan ketua Wanita PKR pada Kongres Tahunan Wanita 2018 di Shah Alam.
Dalam pada itu kata Zuraida, sasaran wakil Wanita PKR untuk menjadi Menteri Besar juga dijangka terlaksana dalam masa tiga tahun.
Selain itu Zuraida juga mahu memastikan 30 peratus wanita dilantik memegang jawatan sebagai pembuat keputusan.
Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail merupakan Timbalan Perdana Menteri wanita pertama negara.
Dalam pada itu, Ketua Srikandi PKR Siti Aishah Shaik Ismail tidak mahu mana-mana bekas pemimpin UMNO yang menyertai mereka membuat kacau lebih-lebih lagi selepas mendapat jawatan di dalam pemilihan parti.
Tegasnya, kumpulan itu akan berhadapan desakan pecat parti jika mereka masih mengamalkan budaya UMNO di dalam PKR.
#Dr Wan Azizah Wan Ismail #jawatan #Parti Keadilan Rakyat #pecat #Perdana Menteri #PKR #Wan Azizah #Wan Azizah Wan Ismail #Wanita PKR #Zuraida Kamaruddin
;