'Tidak molek UMNO serang Ahmad Husni' - Armand
Wan Syamsul Amly
Oktober 28, 2016 12:05 MYT
Oktober 28, 2016 12:05 MYT
Semua pihak dalam UMNO diminta tidak menyerang Bekas Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah dengan tohmahan yang akhirnya memberi kesan negatif kepada parti.
Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Armand Azha Abu Hanifah berkata, Ahmad Husni masih lagi pemimpin UMNO dan sebarang kenyataan yang mengecamnya akan kembali semula kepada parti.
"Saya rasakan cara serangan terhadap Husni ini tidak baik dan tidak bagus. Husni masih lagi pemimpin UMNO dan Ahli Parlimen BN. Tidak molek jika UMNO serang Ahmad Husni sebegini.
"Ini bukan caranya menyerang kembali pemimpin dalam parti UMNO itu sendiri. Saya mohon jasa baik sahabat-sahabat untuk fokus kepada perkukuhkan UMNO dengan menceritakan dan memberikan penerangan tentang kekuatan UMNO dan lebih ke arah politik khidmat bakti sebagai keutamaan.
"Sebagai pemimpin muda yang dilatih untuk terus menghormati yang lama dan sayangi yang muda rasakan pendekatan kasih sayang lebih baik daripada pendekatan kebencian," katanya kepada Astro AWANI di sini hari ini.
Armand mengulas kenyataan Ahmad Husni berhubung soalannya mengenai 1MDB di Parlimen.
Semasa perbahasan ucapan Bajet 2017, Ahmad Husni meminta kerajaan menyatakan sebab 1MDB ditubuhkan dan sama ada jika sebarang tindakan diambil terhadap pengurusan 1MDB kerana menyalurkan dana syarikat pelaburan negara itu ke "tempat yang salah".
Ahmad Husni juga menyoal kerajaan sama ada imej Malaysia akan terjejas sekiranya 1MDB tewas dalam kes timbang tara di London berhubung tindakan International Petroleum Investment Co milik Abu Dhabi, yang menuntut lebih daripada AS$6.5 bilion daripada 1MDB.
Kenyataan itu sekali gus menimbulkan pelbagai reaksi daripada pemimpin Kerajaan sendiri.
Antararanya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Abdul Rahman Dahlan yang menyifatkan Ahmad Husni perlu mempunyai sedikit maruah.
Bagaimanapun, Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa menjelaskan, persoalan yang ditimbulkan Ahmad Husni harus dilihat dari sudut positif dan mendapat perhatian serius kerajaan.
Selain itu Annuar musa berkata, semua pihak seharusnya menghormati peranan dan tugas Ahli Parlimen selagi ia dilaksanakan dengan niat dan pada tempat betul.
Dalam pada itu kata Armand, semua pemimpin UMNO perlu kembali sebagai satu pasukan dan menjadikan kekuatan parti sebagai asas pengukuhan kemenangan pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14.
Sebelum ini, Ahmad Husni berkata akan menyuarakan pandangan secara terbuka tanpa memihak kepada mana-mana parti politik pada sidang Parlimen kali ini.
Ahli Parlimen Tambun itu juga berharap peluang itu diberikan dan menekankan ia adalah bagi kebaikan demi masa depan negara.