Tidak manis lompat parti sama gabungan - Salahuddin Ayub
Siti Nur Aqilla Omar
Februari 28, 2021 12:26 MYT
Februari 28, 2021 12:26 MYT
JOHOR BAHRU: Sewajarnya tidak ada isu lompat parti dalam kalangan ahli parti sesebuah pakatan atau gabungan.
Timbalan Presiden Amanah, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, tindakan itu dilihat tidak sesuai dengan semangat setiakawan dalam Pakatan Harapan (PH).
Katanya terdapat satu persefahaman dalam rakan PH yang mana tidak menerima ahli yang masuk dalam parti rakan.
"Saya rasa begini kita ada satu persefahaman dalam rakan PH, bahawa kita tidak terima ahli yang masuk dalam parti rakan.
"Konsep itu bermakna mereka perlu menolak permohonan daripada parti rakan. Itu adalah prinsip asas dalam pakatan atau gabungan," katanya ketika dihubungi Astro AWANI di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari Amanah di Johor yang bertindak menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Tiga ADUN itu adalah Khairuddin A Rahim (Senggarang), Faizul Amri Adnan (Serom) dan Muhamad Said Jonit (Mahkota).
Sementara itu, Pengerusi Amanah Johor, Aminolhuda Hassan, yang juga Penyelaras PH Johor berkata, sepatutnya dalam semangat yang dipegang PH, mereka tidak boleh menerima tiga ADUN terbabit.
Katanya berdasarkan kenyataan yang dikeluarkan salah seorang ADUN, menyatakan mereka mahu menjadi calon kerusi parlimen.
"Dalam semangat PH sepatutnya PKR tak boleh terima tiga ADUN Amanah ini.
"Dengar khabar angin, katanya akan datang mereka ditawarkan bertanding parlimen," katanya yang kecewa dengan tindakan tiga ADUN tersebut.
#lompat parti
#Salahuddin Ayub
#Pakatan Harapan
#PH
#ADUN
#Khairuddin A Rahim
#Faizul Amri Adnan
#Muhamad Said Jonit