Tidak kecewa, ikrar jadi pembangkang bantu Kerajaan - Asmuni
Harits Asyraf Hasnan
Mac 12, 2020 18:33 MYT
Mac 12, 2020 18:33 MYT
Bekas Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak dari Pakatan Harapan (PH) tidak sesekali berasa kecewa atas peralihan kerajaan yang berlaku.
Sebaliknya, mereka berikrar untuk menjadi pembangkang yang baik, aktif selain menunaikan apa yang dikehendaki oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah serta rakyatnya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manjoi, Datuk Asmuni Awi berkata Sultan Nazrin telah menitahkan kepada mereka untuk membantu kerajaan baharu Perikatan Nasional (PN) dalam menghadapi pelbagai perkara yang berlaku ketika ini.
“Tuanku telah ucap terima kasih atas segala perkhidmatan bekas exco, yang telah kami sumbangkan selama 20 bulan sejak PH ditubuhkan dan berakhir baru-baru ini.
“Tuanku mengharapkan, walaupun kita masih tidak berada dalam Kerajaan, kita masih lagi bersama dalam pelbagai cara.
“InsyaAllah, kami tidak berasa kecewa, jadi pembangkang yang baik, aktif dan menunaikan apa yang dikehendaki Tuanku iaitu untuk membantu Kerajaan dalam menghadapi suasana yang berlaku hari ini dalam keadaan yang ada ini,” katanya kepada media di perkarangan Istana Kinta, di sini hari ini.
Ditanya adakah isu pelantikan Menteri Besar baharu turut dibincangkan, Asmuni menafikannya.
Asmuni bersama enam lagi bekas exco PH sebelum itu dipanggil menghadap Sultan Nazrin selama 15 minit di Istana Kinta di sini.
Enam yang lain termasuk Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin, Dr Abdul Aziz Bari, Howard Lee, Tan Kar Hing, Wong May Ing dan A. Sivanesan.
#A Sivanesan
#abdul aziz bari
#ADUN
#Howard Lee
#kerajaan
#Kerajaan Perak
#Malaysia2020
#Menteri Besar
#Mohamad Nizar Jamaluddin
#Pakatan Harapan
#pembangkang
#Sultan Perak
#Tan Kar Hing
#Wong May Ing