Tidak bubar DUN Pulau Pinang, satu keputusan sukar - Anthony Loke

Fareez Azman
Oktober 15, 2022 13:28 MYT
Anthony berkata, meskipun terpaksa mengecewakan rakan-rakan partinya di Pulau Pinang, namun keputusan itu dibuat secara kolektif dalam PH bagi mengelakkan perpecahan dalam gabungan itu. - Gambar fail
PETALING JAYA: Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke menjelaskan keputusan tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang adalah satu keputusan sukar yang terpaksa diambilnya selaku wakil parti itu.
Jelasnya, meskipun pimpinan DAP peringkat negeri dan Ketua Menteri Pulau Pinang meminta negeri itu dibenarkan membubarkan DUN secara berasingan, namun PH berpendapat tumpuan perlu diberikan terhadap persiapan menangani banjir.
"Dalam mesyuarat Majlis Presiden PH, ini kali kedua mesyuarat diadakan dan pandangan DAP telah didengari.
"(Sebelum ini) DAP telah dua kali mengadakan Mesyuarat Jawatankuasa CEC dalam minggu lalu, bagi membincangkan permintaan kepimpinan DAP, Ketua Menteri Pulau Pinang serta wakil rakyat untuk mengkaji semula keputusan supaya DUN dibubar secara berasingan.
"Kita jalankan proses perbincangan dan konsultasi sangat rapi, itu sebab kita ambil masa beberapa hari," jelasnya.
Tambah Anthony, meskipun terpaksa mengecewakan rakan-rakan partinya di Pulau Pinang, namun keputusan itu dibuat secara kolektif dalam PH bagi mengelakkan perpecahan dalam gabungan itu.
"Sebagai Setiausaha Agung, saya kena buat keputusan sangat sukar, saya perlu kecewakan rakan saya sendiri di Pulau Pinang.
"Kalau kita buat keputusan supaya DUN Pulau Pinang dibubarkan tapi DUN Selangor dan Negeri Sembilan tidak dibubarkan, itu diterjemahkan satu keputusan memecahkan PH.
"Ada keputusan berlainan antara negeri PH, itu akan jadi senjata dan peluru kepada musuh kita mengambarkan seolah olah PH tidak bersatu tidak boleh buat keputusan kolektif," katanya lagi.
Mengulas lanjut tambah Anthony, pembubaran DUN Pulau Pinang ditangguhkan sehingga tahun hadapan selepas Monsun Timur Laut yang dijangka membadai negara pada November depan reda.
"Akhirnya kita ambil keputusan kekal dengan pendirian kita bahawa kita akan menangguhkan (pembubaran). Bukan tak bubar tapi menangguhkan pembubaran sehingga tahun depan iaitu keadaan lebih kondusif untuk diadakan pilihan raya selepas monsun," katanya lagi.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menghadiri mesyuarat Majlis Presiden PH di ibu pejabat Parti Keadilan Rakyat (PKR) di sini pada Sabtu.
Hadir sama dalam mesyuarat itu, Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Amanah, Mohamad Sabu dan Pengerusi DAP, Lim Guan Eng.
#PRU15 #bubar DUN #pulau pinang #Anthony Loke
;