Tidak bertanggungjawab tuduh kerajaan PN diktator - Mohamed Azmin

Farhana Joni
Oktober 24, 2020 22:18 MYT
Mohamed Azmin kesal tindakan pembangkang memilih untuk menimbulkan ketakutan dan kebencian dalam kalangan masyarakat. - Gambar Astro AWANI / Farez Azman
KUALA LUMPUR: Tindakan pemimpin pembangkang yang mendakwa negara akan jatuh dalam sistem pemerintahan diktator jika darurat diisytiharkan disifatkan sebagai tidak bertanggungjawab.
Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, beliau kesal dengan tindakan pembangkang yang memilih untuk menimbulkan ketakutan dan kebencian dalam kalangan masyarakat terhadap keupayaan kerajaan yang bersungguh-sungguh menjaga keselamatan serta kesihatan awam.
Beliau yang juga Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN), berkata semua pihak sepatutnya bersatu dalam usaha meratakan lekuk pandemik COVID-19 sambil memastikan gangguan terhadap ekonomi berkurangan.
"Kita kena jelas, musuh utama adalah COVID-19 dan kita mesti menghargai pengorbanan dan usaha tanpa henti barisan hadapan yang bekerja siang malam serta berterusan untuk melawan virus ini.
"Pandemik ini telah berubah menjadi semakin buruk dengan kes melonjak ke tahap tertinggi di seluruh dunia, termasuk Malaysia dan kerajaan telah berusaha untuk menangani cabaran baharu ini," katanya dalam kenyataan di Facebook miliknya pada Sabtu.
Dalam perkembangan sama Mohamed Azmin berkata, sejak lonjakan kes COVID-19 meningkat pada gelombang ketiga, Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang dipengerusikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, bermesyuarat setiap hari selama 24 hari berturut-turut.
"Bersama dengan pakar kesihatan, pasukan pertahanan dan keselamatan dalam negeri serta penasihat-penasihat ekonomi, Perdana Menteri telah memimpin pasukan negara dalam mempertimbangkan langkah-langkah jangka pendek, pertengahan dan panjang dalam menangani krisis," katanya.
BACA: COVID-19 alasan kerajaan untuk salah guna kuasa, dakwa Anwar Ibrahim
Semalam, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa Muhyiddin akan membawa Malaysia menjadi negara diktator susulan laporan kerajaan PN berusaha untuk melaksanakan darurat.
#Mohamed Azmin #diktator #Perikatan Nasional #darurat #COVID-19 #pandemik #barisan hadapan #MKN #Azmin Ali
;