Tidak benar Ustaz Kazim, dua abang, bertanding PRU14 - Zambry

Aida Aziz
April 27, 2018 19:18 MYT
Ustaz Kazim (gambar) kadang-kadang suka guna ayat-ayat yang menyeronokkan, tetapi ditafsirkan sebaliknya oleh orang lain, kata Zambry. - Gambar fail
Desas-desus kononnya penceramah terkenal, Datuk Mohd Kazim Elias dan dua abangnya akan bertanding atas tiket Bebas pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) ini adalah tidak benar dan disifatkan sebagai permainan politik pihak tertentu.
Pengerusi Barisan Nasional (BN) Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir ketika menyangkal dakwaan itu berkata, beliau terlebih dahulu telah menerima maklum balas daripada Mohd Kazim, lebih dikenali sebagai Ustaz Kazim, dan abangnya Ahmad Hasbullah dan Datuk Mohd Najmuddin.
“Saya telah mendapat laporan berkaitan tiga beradik ini. Mereka sendiri telah menghantar mesej kepada saya dan sahkan perkara itu tidak benar.
"Tak tahulah siapa yang cuba mereka-reka atau membaca maksud tersirat (status di Instagram) dan membuat andaian… walhal beliau tidaklah bermaksud begitu.
"Ustaz Kazim kadang-kadang dia suka ayat-ayat yang biasa menyeronokkan... tapi orang lain tafsirkan sebaliknya,” ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita di Majlis Penyampaian Borang 5A di Sungai Tiram, di sini, pada Jumaat.
Turut hadir, penyandang wakil rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Pasir Panjang, Datuk Rashidi Ibrahim dan isteri Zambry, Datin Seri Saripah Zulkifli.
Dalam pada itu, menurut Zambry, khabar angin sebegitu merupakan perkara biasa yang sering dimainkan pihak tertentu di saat-saat akhir menjelang PRU.
“Saya percaya ketiga-tiga mereka tahu.
"Sebagaimana Ustaz Kazim nyatakan, beliau seorang pendakwah, dan lebih suka menjadi seorang di luar lingkungan politik, tetapi memberikan pandangan-pandangan untuk kebaikan masyarakat.
“Biasalah musim PRU... macam-macam perkara dimainkan, dalam usaha untuk mengalih perhatian daripada menyokong BN,” katanya.
Terdahulu hari ini, Sinar Harian melaporkan tiga beradik itu dikhabarkan bakal menggegarkan Parlimen Larut.
Ahmad Hasbullah yang merupakan penyandang kerusi DUN Kubu Gajah dan Mohd Najmuddin dikatakan akan menimbang keputusan untuk bertanding bebas.
Menurut laporan berita itu juga, Mohd Kazim dalam satu status dimuat naik dalam akaun Instagram memberi bayangan tersebut dengan gambar beliau seakan berada di lapangan terbang.
#Bebas #calon #khabar angin #MalaysiaMemilih #Mohd Kazim Elias #Parlimen Larut #penceramah #pendakwah #politik #PRU14 #tanding #tiga beradik #Zambry Abdul Kadir
;