Tidak akan berlaku pemulauan DUN Terengganu esok - A. Latiff

Astro Awani
Ogos 7, 2016 18:05 MYT
A. Latiff percaya provokasi serta dan khabar angin yang berniat jahat itu sengaja disebarkan untuk menghuru-harakan keadaan serta meresahkan rakyat negeri itu. - Gambar fail
Dijangkakan tidak akan berlaku sebarang tindakan pemulauan sesi Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu oleh enam exco kerajaan negeri, esok seperti yang digembar-gemburkan.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Teknologi dan Transformasi Kerajaan Negeri, A. Latiff Awang, perkara itu hanyalah sekadar spekulasi.
Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Marang, sebaliknya percaya, provokasi serta khabar angin yang berniat jahat itu sengaja disebarkan untuk menghuru-harakan keadaan serta meresahkan rakyat negeri itu.
BACA: Ambil iktibar peristiwa hitam kekalahan UMNO di Terengganu - Khairy
BACA: Kemelut di Terengganu umpama 'ribut dalam cawan' - MB
BACA: Siapa kata saya akan bergabung dengan PAS? - Ahmad Said
“Saya ingat itu (berita pemulauan) hanya khabar angin ataupun provokasi sahaja. Tidak mungkin berlaku saya yakin. Kami di kalangan wakil-wakil rakyat ini cukup tinggi dan sayang dan cintakan kepada negeri Terengganu itu sendiri. Tidak mungkin mereka (exco) melakukan… perkara-perkara yang luar biasa,” kata beliau selepas Majlis Penyampaian Hadiah Pidato Transformasi Terengganu Baharu di sini hari ini.
Tegasnya lagi, pemimpin UMNO Terengganu tetap setia kepada parti serta kepimpinan negeri dan tidak akan bertindak di luar batasan walaupun pada masa sama terpaksa mendepani pelbagai isu kepimpinan negeri.
Pelbagai sepekulasi timbul menjelang sidang DUN Terengganu pada Isnin, berikutan perbalahan antara Menteri Besar Ahmad Razif Abdul Rahman dan ADUN Kjial, Datuk Seri Ahmad Said.
Sidang DUN berkenaan turut menarik perhatian apabila timbul dakwaan, wujud perbincangan atau pakatan di kalangan exco serta wakil rakyat untuk menggulingkan Ahmad Razif.
#A. Latiff Awang #Ahmad Razif #Ahmad Said #DUN Terengganu #Menteri Besar Terengganu #MT UMNO #pecat ahli UMNO #PRN
;