Tidak ada sebab MT UMNO tolak usul dari bahagian - Nazri Aziz

Irwan Muhammad Zain
Januari 4, 2021 16:04 MYT
Kata Nazri, suara akar umbi UMNO sangat jelas menolak kerjasama dengan Bersatu. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO perlu menerima keputusan lebih 100 bahagian parti itu yang memutuskan untuk menolak kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Ketua UMNO Bahagian Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz menegaskan tidak ada sebab untuk MT UMNO tidak menerima usul tersebut kerana ia adalah suara akar umbi parti.
Katanya, suara akar umbi UMNO sangat jelas menolak kerjasama dengan Bersatu.
“Saya amat berpuashati dengan kenyataan Presiden UMNO bahawa kita perlu mendengar suara akar umbi UMNO.
“Tetapi di ayat akhir kenyataan beliau mengatakan terpulang kepada MT UMNO untuk menerima atau tidak.
“Pada saya, MT UMNO tidak ada hak lagi untuk membuat pertimbangan, MT UMNO kena terima suara akar umbi,” katanya kepada Astro AWANI.
Ahli Parlimen Padang Rengas itu juga menjelaskan usul menolak kerjasama dengan Bersatu dibuat setelah mengambil kira pandangan akar umbi.
Beliau menolak pandangan sesetengah pihak yang mendakwa usul tersebut dibuat tanpa mengambil kira pandangan akar umbi dan membuat kajian terlebih dahulu.
“Macam di bahagian saya di Padang Rengas, akar umbi yang suarakan supaya tidak bekerjsama dengan Bersatu.
“Ia bukan keputusan yang pemimpin bahagian pandai-pandai nak buat,” katanya lagi.
Lebih 100 bahagian UMNO meluluskan usul untuk tidak bekerjasama dengan Bersatu dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Usul tersebut diluluskan ketika mesyuarat UMNO Bahagian yang diadakan pada Jumaat, Sabtu dan Ahad lepas.
#Mohamed Nazri Abdul Aziz #UMNO #pilihan raya umum #Malaysia #pilihan raya #Parlimen #Astro Awani #Bersatu #kerjasama dengan Bersatu #Muhyiddin Yassin #Najib Razak #Anwar Ibrahim
;