Tidak ada istilah 'primadona' dalam perjuangan UMNO - Reezal

Wan Syamsul Amly
Februari 25, 2016 17:08 MYT
REEZAL: 'Tidak ada istilah primadona dalam perjuangan UMNO' - Gambar fail
Sebarang usaha untuk mengambil tindakan kepada amalan serangan terbuka dalam UMNO perlu dibuat demi keutuhan dan kelangsungan parti.
Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, ia merupakan langkah yang perlu diamalkan untuk memastikan sesebuah organisasi itu terus berwibawa.
"Terlalu banyak yang diperkatakan mengenai kedudukan Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang buat sekian lama tidak pernah berhenti membuat serangan kepada institusi Presiden UMNO.
"Demi keutuhan dan kelangsungan perjuangan parti, saya secara peribadi menyatakan sokongan kepada usaha untuk mengambil tindakan kepada amalan serangan terbuka seperti ini.
"Ini tidak bermakna saya tidak menghormati pandangan Timbalan Presiden. Tetapi, dalam sebuah organisasi, kita tidak boleh terus-terusan berada dalam keadaan yang serba defensif dan serba salah. Saya khuatir, jika sikap dan pendirian yang bertentangan dengan institusi Presiden ini berterusan, ia akan mengheret sama parti ke aras sokongan politik yang sukar.
"Rakyat sedang memerhati tindakan dan bagaimana kita menyantuni pemimpin dan pejuang lama. Ya, mungkin kita boleh berbeza pandangan dalam perkara tertentu, tetapi menyerang Presiden UMNO dengan tuduhan yang tidak berlandaskan fakta dan kebenaran adalah satu yang tidak boleh diterima," katanya kepada Astro AWANI di sini hari ini.
Sebelum ini, ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz menasihati Muhyiddin supaya tidak mengeluarkan kenyataan berbaur ugutan terhadap kepimpinan tertinggi parti itu, sebaliknya menunggu keputusan hasil mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) yang dijadualkan pada Jumaat.
Nasihat itu yang disuarakan Mohamed Nazri berhubung kenyataan Muhyiddin terhadap Setiausaha Agung UMNO Tengku Adnan Tengku Mansor agar tidak mengambil tindakan ke atasnya melainkan mempunyai bukti yang cukup.
Dalam pada itu Reezal turut mengharapkan agar MT UMNO dapat mengambil pendirian yang tegas berasaskan konsensus, bahawa tindakan menyerang Presiden ini mesti ditamatkan segera.
"Sebarang tindakan terhadap Timbalan Presiden, mahupun sesiapa sahaja ahli parti, mestilah berasaskan kepada Perlembagaan dan peraturan yang jelas di dalam parti. Tidak ada istilah 'primadona' dalam perjuangan UMNO.
"Buat masa ini, UMNO tidak boleh melayan politik berasaskan serangan peribadi seperti ini. Amaran telah diberikan banyak kali, namun masih ada pihak yang mahu menangguk di air yang keruh.
"Keputusan Majlis Tertinggi UMNO esok akan membayangkan komitmen kita untuk mendahulukan rakyat dan tidak melayani mereka yang mahu menjadi primadona dan mendahulukan ego peribadi," ujarnya.
Jelasnya lagi, tidak ada sesiapa yang wajar diberikan layanan istimewa tatkala parti memerlukan usaha berterusan untuk mengembalikan kepercayaan rakyat.
#majlis tertinggi #Muhyiddin #Reezal #UMNO
;