Tian Chua akui NGO Daya tiada kaitan dengan politik

Faris Danial Razi
Julai 25, 2020 23:10 MYT
Naib Presiden PKR, Tian Chua (dua dari kanan) menegaskan badan bukan kebajikan (NGO) Pertubuhan Daya Masyarakat (Daya) yang dilancarkan pada Sabtu tiada kaitan dengan mana-mana NGO yang ditubuhkan oleh ahli politik lain sebelum ini. - Astro AWANI
Naib Presiden PKR, Chua Tian Chang atau Tian Chua menegaskan badan bukan kebajikan (NGO) Pertubuhan Daya Masyarakat (Daya) yang dilancarkan pada Sabtu tiada kaitan dengan mana-mana NGO yang ditubuhkan oleh ahli politik lain sebelum ini.
Jelasnya, gerakan yang dilaksanakan itu ada perbezaan tersendiri berbanding NGO lain dan ia juga bukan sebahagian daripada proses pembentukan sebuah parti politik baharu.
“Saya anggap ini terlalu jauh, saya tubuhkan ini sebab saya nampak kita ada falsafah tersendiri, saya tidak mahu komen pertubuhan yang lain. Tetapi kita ada falsafah sendiri.
“Bolehlah sesiapa yang nak bandingkan dengan NGO lain untuk lihat bagaimana metodologi kita tu berbeza. tetapi saya rasa kita tidak berkontradiksi dengan mana-mana pihak,” jelas Tian Chua sewaktu sidang media di Petaling Jaya.
Tambahnya lagi, pertubuhan NGO tersebut bukan merupakan pelan kedua atau 'backup plan' buat dirinya dalam dunia politik, sebaliknya untuk menyumbang kepada komuniti secara menyeluruh.
“Saya tidak meninggalkan politik, saya masih menjadi anggota parti Keadilan, saya masih menjadi Naib Presiden PKR. Saya hanya bukan ahli parlimen, dan saya rindu akan keterujaan di parlimen.
“Namun, sekiranya ada pilihan raya, saya akan kembali bertanding. Tetapi sekarang saya mahu menggunakan tenaga dan pengalaman saya, untuk mewujudkan momentum.
“Saya pernah menghadiri ke beberapa gerakan perhimpunan seperti Bersih, jadi sekarang saya ingin mengajak orang ramai dari pelbagai kumpulan atau latar belakang, dan hidupkan semula semangat aktivisme,” tambah Tian Chua.
Ketika ditanya sama ada beliau ingin lebih menfokuskan kepada NGO atau politik? Ini jawapan Tian Chua:
“Buat masa ini, rakyat sangat memerlukan bantuan dan sokongan akibat COVID-19. Oleh itu, kita kumpulkan kawan kawan, supaya kita boleh gerakkan tenaga kita untuk sesuatu yang positif.
“Dan bukan dengan menampakkan lagi perbezaan di antara kita, tetapi kita mahu mengambil tindakan bersama, menolong orang, itulah cara terbaik untuk menyatukan kita,” ujarnya lagi.
Antara individu yang menganggotai NGO Daya ialah bekas Pengerusi Bersih, Ambiga Sreenevasan, Pengerusi Kumpulan Sungei Wang, Derrick Tan Peng Koon, bekas Ahli Parlimen Segambut dan Wangsa Maju, Tan Kee Kwong serta penyanyi, Ito.
BACA: PKR arahkan Tian Chua letak jawatan lantikan politik
#Chua Tian Chang #Daya #NGO #Parlimen #Pertubuhan Daya Masyarakat #Petaling Jaya #pilihan raya #PKR #politik #presiden #rakyat #Tian Chua
;