Tiada watikah andai terus bertelagah - Anwar
Ridauddin Daud
Julai 16, 2022 14:33 MYT
Julai 16, 2022 14:33 MYT
SHAH ALAM: Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan tiada watikah calon pilihan raya akan diberikan kepada pemimpin parti itu yang terus bersaing seperti mana persaingan sebelum pemilihan parti.
Menurutnya, beliau juga tidak akan memaafkan anggota parti baik di peringkat ranting mahupun cabang yang masih bertelagah sesama sendiri meskipun pemilihan sudah berakhir.
Tegasnya, selaku Presiden, beliau akan memastikan saf pimpinan PKR terus utuh, bersatu dan merangkul semua kekuatan parti sebagai gerakan rakyat.
"Menghayati idealism perjuangan lebih sukar dari sekadar ungkapkannya. Gesaan ini terpakai untuk semua pimpinan.
"Saya selaku Presiden tidak akan maafkan saudara di ranting, cabang AMK (Angkatan Muda Keadilan) atau wanita yg pilih untuk teruskan persaingan sebelum pemilihan parti.
"Kalau terus berlaku begitu, jaminlah takkan ada watikah yang akan sampai kepada saudara," katanya ketika berucap semasa merasmikan Kongres Keadilan Ke-16 di sini pada Sabtu.
Turut hadir Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli dan barisan kepimpinan, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook, Presiden Amanah, Mohamad Sabu, Presiden UPKO, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau dan Presiden Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Dalam ucapan sama, beliau juga sekali lagi membangkitkan isu Si Kitol atau pengkhianat yang pernah membelenggu parti itu sebelum ini.
Tegasnya, beliau beberapa kali memabangkitkan isu tersebut kerana beliau akui wujud golongan sebegitu dalam parti.
"Itu dah memungkinkan pengkhianatan…dan ini satu pengajaran kepada kita. Jangan terhakis idealism, jangan terpukau kilauan kuasa dan harta.
"Ada orang yang dulunya reformis bersama kita tetapi bila diberikan sedikit ujian dan kuasa dan harta, kilauan itu kaburi mata mereka. Terhakis idealisme mereka.
"Untuk ke depan, saudara kena ingat, harus ada kekuatan, kesabaran dan sikap dan semangat kasih sayang. Parti tidak ditegakkan dengan kebencian dan permusuhan," tegasnya.