Tiada tempat untuk 'primadona' di dalam UMNO - Khairy
Noraniza Kamsani
April 26, 2018 16:56 MYT
April 26, 2018 16:56 MYT
Parti Umno tiada mempunyai tempat untuk anggotanya yang bersikap seperti seorang 'primadona' yang sanggup membuat pertikaian secara umum selepas tidak diumumkan sebagai calon pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14)," tegas Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin.
Menteri Belia dan Sukan itu berkata, pemimpin yang mempertikaikan sistem pemilihan calon ini secara umum atau di media sosial itu adalah tindakan yang sangat tidak bertanggungjawab.
"Ramai juga ahli-ahli Pergerakan Pemuda Umno yang mahu menjadi calon tetapi tidak dipilih, tetapi mereka terus berada di kawasan untuk membantu calon yang bertanding, ini semangat yang kita mahu.
"Ini tidak, tulis macam-macam di dalam media sosial, mempertikaikan sistem calon dinilai dan dipilih. Kita kena terima, jangan jadi seorang yang kurang matang.
"Kita tidak ada tempat untuk 'primadona' iaitu pemimpin-pemimpin yang tidak dapat jadi calon dan membuat pertikaian secara umum. Itu adalah sikap tidak bertanggungjawab," katanya.dalam sidang media selepas Majlis Perasmian Fasa 2 Akademi Bola Sepak Negara Mokhtar Dahari (AMD) di Gambang di sini, hari ini.
Khairy berkata, pemimpin lain yang tidak dipilih diharap dapat membantu Barisan Nasional (BN) kerana perkara yang lebih penting adalah kemenangan parti.
"Kita kena terima keputusan yang dibuat oleh pucuk pimpinan parti, inilah masa kita diuji sebagai seorang ahli parti. Kita kena menghayati kesetiaan kepada parti.
"Selama ini saya dengar ada pihak cakap, sesiapa sahaja yang dipilih sebagai calon kita akan sokong. Jadi ini adalah masa kita untuk mengotakan janji itu sama ada ikhlas atau tidak," katanya.
#Barisan Nasional
#calon
#Khairy Jamaluddin
#KJ
#Malaysia Memilih
#MalaysiaMemilih
#media sosial
#pemilihan
#pemuda
#Pemuda UMNO
#pilihan raya
#pilihan raya umum
#UMNO