Tiada syarat untuk sertai Amanah
Bernama
Jun 4, 2018 04:59 MYT
Jun 4, 2018 04:59 MYT
Tiada sebarang syarat ditetapkan untuk mana-mana individu yang ingin menyertai Parti Amanah Negara (Amanah), kata Ketua Pemuda Amanah Nasional Mohd Sany Hamzan.
Beliau berkata Amanah menerima sesiapa sahaja yang ingin menyertai parti itu termasuk mereka yang dahulunya daripada parti lawan dan kini menjadi pembangkang.
"Kita terima (keahlian) tanpa mengira siapa mereka, warna kulit, agama, bangsa, keturunan. Yang penting parti Amanah membawa konsep rahmat untuk semua dan saya rasa konsep ini sudah mula diterima oleh masyarakat di negara ini.
"Kita hanya tidak menerima pimpinan sahaja untuk menjadi ahli (Amanah) seperti yang disebut oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad. Kalau mereka anggota (biasa) UMNO, Pas kita terima," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Jom Sertai Pemuda Amanah di sini pada Isnin.
Turut hadir Timbalan Ketua Pemuda Amanah Nasional Faiz Fadzil dan Ketua Pemuda Amanah Perak Hasnul Zulkarnain Abdul Munaim yang juga pengerusi jawatankuasa Komunikasi, Multimedia, NGO dan Pembangunan Koperasi Negeri.
Katanya pendaftaran keanggotan boleh dilakukan di cawangan Amanah negeri atau secara dalam talian di laman rasmi Amanah.
Mohd Sany yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Taman Templer berkata setakat ini Amanah mempunyai lebih 100,000 anggota, 20,000 daripadanya adalah dari Perak.
"Setiap bulan kita meluluskan 3,000 hingga 4,000 keanggotaan. Kita sangat menggalakkan penyertaan daripada masyarakat untuk bersama-sama dengan kita membina semula negara ini," katanya.
-- BERNAMA
#Amanah
#Barisan Nasional
#ketua pemuda
#Mohd Sany Hamzan
#parti
#Parti Amanah Negara
#pembangkang
#politik
#PRU14
#UMNO