Tiada sebab MIC mahu lepaskan kerusi Cameron Highlands - Sivarraajh
Astro Awani
Mac 3, 2018 05:00 MYT
Mac 3, 2018 05:00 MYT
MIC tidak mempunyai sebarang sebab atau alasan untuk melepaskan kerusi Parlimen Cameron Highlands pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) kali ini.
Ketua Pemuda MIC Datuk Sivarraajh Chandran berkata, ia sudah jelas selain tidak timbul sebarang isu lagi yang perlu dibincang.
"Saya berpegang dengan apa yang dikatakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak di dalam Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) MIC lepas di mana kerusi tradisi akan dikekalkan.
"Ia dengan syarat calon itu boleh mewakili semua kaum dan juga seorang yang mempunyai kredibiliti tinggi supaya boleh memenangi hati pengundi.
"Saya rasa apa yang dikatakan Najib itu jelas bahawa tiada perubahan untuk kerusi itu.
"Lagipun, MIC dengan tegas mengatakan bahawa tiada perundingan langsung melibatkan kerusi-kerusi MIC khususnya Cameron Highlands," katanya pada sidang media selepas melancarkan Program Jelajah BN4U di sini pada Sabtu.
Program itu akan bermula di Cameron Highlands pada 9 Mac ini dan diteruskan di beberapa lokasi tumpuan seluruh negara.
Ia akan memberi titik sentuhan kepada pengundi dengan beberapa program penjelasan isu, ceramah daripada wakil Barisan Nasional (BN), lawatan ke rumah pengundi uzur selain beberapa acara hiburan untuk golongan muda.
Ia sekali gus usaha membentuk manifesto yang dekat di hati pengundi selain mengadakan beberapa mesyuarat bersama jentera Pemuda MIC menjelang pilihan raya.
Tegas Sivarraajh, program berkenaan dilihat sangat efektif dan keputusan meneruskannya kali ini dibuat dengan penambahan imej baru selain pendekatan terkini kepada masyarakat.
"Ini bagi memberi penjelasan kepada mereka di akar umbi bahawa BN adalah pilihan mereka.
"Walaupun kita tidak sempurna, kita akan cuba sedaya upaya mengenal pasti dan mengetahui apa hasrat rakyat supaya kita dapat laksanakan program-program akan datang dengan lebih sempurna
"Kita juga akan sampaikan maklumat kepada kepimpinan secara langsung supaya masalah dan hasrat mereka tercapai," ujarnya.
Mengulas lanjut, Sivarraajh yang juga Penyelaras Parlimen Cameron Highlands berkata, MIC memegang kerusi Cameron Highlands sejak tahun 2004.
"Kita sudah menang sejak tahun 1979-1989 kerusi DUN dan dari tahun 2004 sampai sekarang masih lagi kita menang walaupun bekas presiden bukan lagi ahli MIC.
"Tetapi pada masa itu, bekas presiden bertanding atas kapasiti Presiden MIC. Jadi memang tidak ragu-ragu lagi kerusi itu milik MIC," jelasnya.
Dalam perkembangan berasingan, Sivarraajh menjelaskan, sayap parti itu tidak akan membuka bilik gerakan sendiri pada PRU kali ini.
Sebaliknya katanya, ia akan bekerjasama dengan MIC Pusat dan kerja-kerja Pemuda MIC akan digerakkan daripada ibu pejabat.
Sivarraajh turut berharap Presiden MIC Datuk Seri Dr S Subramaniam akan mempertimbangkan permohonannya untuk memberi lebih banyak kerusi kepada Pemuda parti.
"Saya minta banyak kerusi daripada presiden tetapi kalau dapat dikekalkan satu Parlimen atau tiga DUN untuk kerusi Pemuda MIC, itu sudah cukup baik.
"Tetapi, itu terpulang kepada presiden sebab saya faham ada banyak perkara dan faktor yang harus dipertimbangkan sebelum membuat keputusan.
"Saya percaya kepimpinan presiden. Yang mana dilihat layak dan mempunyai kaliber untuk bertanding, beliau akan beri ruang," katanya.