Tiada PRK di DUN Kempas susulan pemergian Osman Sapian - Speaker
Astro Awani
Disember 22, 2021 17:05 MYT
Disember 22, 2021 17:05 MYT
JOHOR BAHRU: Tiada sebarang Pilihan Raya Kecil (PRK) bakal diadakan bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kempas di Johor susulan kekosongan yang ditinggalkan penyandangnya Datuk Osman Sapian yang meninggal dunia pada Selasa.
Menurut Speaker DUN, Suhaizan Kaiat, ia berikutan kekosongan kerusi tersebut berlaku lebih daripada tempoh tiga tahun sejak Pilihan Raya Umum ke-14 ( PRU14) berlangsung iaitu pada Mei 2018.
“Oleh kerana kekosongan ini berlaku lebih tiga tahun daripada PRU-14, maka tiada PRK perlu diadakan.
"Selain itu tiada ada isu majoriti DUN Johor dengan kelebihan satu kerusi di pihak kerajaan maka mengikut fasal 23(5) Undang- undang Tubuh Kerajaan Negeri, tiada PRK di DUN Kempas," katanya ketika dihubungi.
Suhaizan yang ketika ini sedang mengerjakan ibadah umrah turut menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Osman.
Allahyarham Osman, 69, meninggal dunia di kediaman anaknya di Damansara kira-kira jam 11.45 malam tadi.
Pada 13 Oktober lepas, Osman yang juga Ketua Bahagian Bersatu Ayer Hitam dilaporkan dimasukkan ke Hospital Pakar KPJ Johor di sini selepas diserang strok ringan dan pada November lalu Allahyarham dilaporkan dirawat di Hospital Pengajar Universiti Putra Malaysia (HPUPM), Selangor.
Bagaimanapun, pada 13 November lalu Osman dilaporkan kembali stabil tetapi masih berada dalam pemerhatian rapi dan tidak sedarkan diri.
Osman dilantik sebagai Menteri Besar Johor ke-16 selepas Pilihan Raya Umum 2018.
Allahyarham adalah Menteri Besar Johor bagi tempoh 12 Mei 2018 sehingga 8 April 2019.