Tiada pertukaran kerajaan Sabah, esok - Joniston Bangkuai
Ruzaini Zulkepli
Mei 16, 2021 22:00 MYT
Mei 16, 2021 22:00 MYT
KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menempelak dakwaan dan mesej tular yang mengatakan bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal bakal mengangkat sumpah pada esok, di Istana Negeri Sabah.
Ketua Penerangan GRS, Datuk Joniston Bangkuai berkata, desas-desus yang tular sejak semalam itu adalah 'omong kosong' sahaja.
Difahamkan, dakwaan itu tular selepas beberapa pemimpin Parti Bersatu Sabah (PBS) menyatakan sokongan kepada Mohd Shafie hingga membolehkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senallang itu menjadi Ketua Menteri Sabah.
"Tiada apa yang patut dinafikan kerana ia tidak benar sama sekali. Masa akan tentukan," kata Joniston yang juga Setiausaha Agung PBS ketika dipetik dalam laporan The Star.
Terdahulu, catatan di Facebook dan aplikasi WhatsApp digemparkan dengan dakwaan kononnya pertukaran kerajaan serta mengaitkan Presiden Warisan, Mohd Shafie bakal menjadi Ketua Menteri Sabah semula.
Turut tular, pesanan kiriman audio yang mendakwa parti pembangkang itu telah mempunyai nombor bagi menubuhkan kerajaan baharu.
Pada 11 Mei, Mohd Shafie dalam satu sidang media secara dalam talian mendedahkan pihaknya terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana parti yang memperjuangkan hak orang Sabah.
Bahkan, beliau turut memaklumkan kesudian untuk bekerjasama dengan PBS.
Selain itu, Presiden PBS, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili dalam satu kenyataan balas bagaimanapun mengalu-alukan niat Warisan namun tidak meletakkan apa-apa komitmen serta dilihat memberikan jawapan 'tergantung' sehingga menimbulkan persepsi pelbagai daripada ramai pihak.
Seramai tujuh wakil rakyat PBS berada dalam kerajaan GRS setakat ini.
Untuk rekod, GRS memenangi 38 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Pilihan Raya Negeri ke-16 (PRN-16) manakala Warisan Plus menang sebanyak 32 kerusi selain tiga kerusi dimenangi oleh tiket Bebas.
Setakat ini, GRS mempunyai enam Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) lantikan yang terdiri Dr Aliakbar Gulasan (PAS), Datuk Raimie Unggi (UMNO), Suhaimi Nasir (UMNO), Jaffari Walliam (Bersatu), Datuk Amisah Yassin (Bersatu) dan Datuk Seri Yong Teck Lee (SAPP).
Jumlah kerusi Warisan Plus kurang kepada dua kerusi susulan pemergian ADUN Bugaya, Manis Muka Darah dan ADUN Sebatik, Hassan Awang Gani Pengiran Amir yang bertindak keluar dan menyertai Bersatu pada 6 April lalu.