Tiada perjanjian jawatan bekas MB Selangor masuk BN - Johan

Wan Syamsul Amly
September 29, 2017 12:25 MYT
JOHAN: Kita sudah buat pelawaan kepada Abdul Khalid, jawapan masih belum diterima; Kita akan sambut dengan baik dan ia tidak menjanjikan apa-apa pangkat atau jawatan. - Gambar YouTube / SuperAjim
Barisan Nasional (BN) Selangor tidak pernah menjanjikan apa-apa jawatan kepada mana-mana bekas menteri besar negeri itu, yang mahu atau sudah menyertai parti itu semula.
Setiausaha BN Selangor Datuk Johan Abd Aziz berkata, paling penting, semua tokoh disambut dengan baik dan bersama dalam agenda merampas semula negeri itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.
Ujarnya, ia termasuk jemputan kepada Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang dibuat Pengerusi BN Selangor Tan Sri Noh Omar sebelum ini.
"Kita membuka pintu kepada contohnya, dua bekas menteri besar iaitu Tan Sri Muhammad Muhammad Taib dan Abdul Khalid sendiri.
"Kita sudah buat pelawaan kepada Abdul Khalid, jawapan masih belum diterima.
"Kita akan sambut dengan baik dan ia tidak menjanjikan apa-apa pangkat atau jawatan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
BACA: Trio bekas Menteri Besar berganding bahu rampas Selangor
BACA: Mat Taib mampu beri suntikan semangat UMNO Selangor
Johan berkata demikian ketika ditanya status jemputan Noh kepada Abdul Khalid untuk menyertai gabungan tiga lagi bekas menteri besar daripada parti itu yang bertekad menawan kembali negeri berkenaan pada PRU14.
Dalam pada itu ketika ditanya tentang kriteria pemimpin yang akan dipelawa masuk ke dalam kem mereka, Johan menjelaskan:
"Kriterianya, bagi kita, siapa sanggup hendak kembali dan sokong UMNO, serta BN, kita alu-alukan.
"Kita tahu banyak opsyen parti-parti, tetapi tolong kaji sejarah parti mana yang terus membantu.
"Kalau saya berucap, saya minta mereka kaji sejarah, (di bawah) parti mana yang wujudnya sekolah, pembangunan pendidikan dan segalanya. Kaji siapa yang buat."
Abdul Khalid menyertai UMNO sekitar 90-an sebelum melompat ke Parti Keadilan Rakyat (PKR) sekitar tahun 2000.
Beliau merupakan Menteri Besar Selangor ke-14 dan yang pertama dilantik daripada gabungan PAS-DAP-PKR selepas pakatan tersebut menawan negeri berkenaan pada PRU12.
Bagaimanapun, Abdul Khalid yang juga Anggota Parlimen Bandar Tun Razak, dipecat selepas enam tahun meneraju tampuk pentadbiran negeri termaju berkenaan ekoran pergeseran dengan pemimpin pembangkang lain dan kini bergerak sebagai anggota Bebas.
#Khalid Ibrahim #Noh Omar #PKR #UMNO
;