Tiada perbincangan mengenai rombakan kabinet - Guan Eng

Firdaus Azil
Ogos 22, 2019 12:55 MYT
Jelas Guan Eng, pertemuan antara menteri dan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad semalam hanyalah berkaitan aturan urusan kerajaan. - Gambar fail
Kabinet tidak dimaklumkan kemungkinan akan berlaku rombakan dalam masa terdekat ini, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.
Beliau turut menolak laporan beberapa media yang mengatakan bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed akan kembali menganggotai barisan kabinet.
Jelas Setiausaha Agung DAP itu lagi, pertemuan antara menteri dan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad semalam hanyalah berkaitan aturan urusan kerajaan.
“Mungkin (anda) merujuk pada perjumpaan Tun dengan Menteri Menteri kerajaan semalam, itu berkaitan dengan urusan kerajaan. Tak ada kaitan dengan apa yang disebut oleh anda (pelantikan Mustapha). Tak dibincang langsung.
BACA: Rombakan Kabinet: Tok Pa dilantik jadi menteri?
“Semalam adalah perjumpaan antara pemimpin utama kerajaan, bukan dengan ketua-ketua parti,” katanya kepada sidang media selepas menghadiri Mesyuarat Kumpulan Fokus Belanjawan 2020 dengan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin, di sini hari ini.
Semalam beberapa media memetik sumber kerajaan sebagai berkata, Ahli Parlimen Jeli itu akan dilantik mengganggotai Kabinet dalam masa terdekat.
Menurut sumber itu, Mustapa akan menjawat jawatan menteri penuh di kementerian yang masih tidak dapat dipastikan.
Dalam sidang media yang sama, Zuraida turut mengesahkan perlantikan Tok Pa atau rombakan kabinet tidak dibincangkan sama sekali dalam tempoh kebelakangan ini.
#Ahli Parlimen Jeli #berita politik #Kumpulan Fokus Belanjawan 2020 #Lim Guan Eng #Mahathir Mohamad #Malaysia Baharu #Mustapa Mohamed #Zuraida Kamaruddin
;