Tiada perbincangan MCA nak tinggalkan BN - Setiausaha Agung

Sinar Harian
Julai 20, 2024 04:50 MYT
Datuk Chong Sin Woon berkata, tiada sebarang perbincangan dibuat mengenai perkara itu dalam kalangan kepimpinan tertinggi parti.
KUALA LUMPUR: MCA menafikan dakwaan bahawa terdapat tekanan kepada kepimpinan tertinggi parti itu untuk meninggalkan gabungan Barisan Nasional (BN) selepas 72 tahun bersama.
Setiausaha Agungnya, Datuk Chong Sin Woon berkata, tiada sebarang perbincangan dibuat mengenai perkara itu dalam kalangan kepimpinan tertinggi parti.
“Tidak betul (laporan media). Tidak ada apa-apa tekanan kepada kepimpinan tertinggi untuk tinggalkan BN.
“Perbincangan dalam kalangan pimpinan MCA juga tiada,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan sebuah portal berita tentang terdapat tekanan yang semakin meningkat dalam MCA untuk meninggalkan BN.
Ia susulan dakwaan akar umbi MCA merasakan BN yang kini dipimpin oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi telah mengetepikan MCA dalam kerajaan dan menggesa kepimpinan MCA membuat keputusan untuk meninggalkan BN.
Sementara itu, bekas Naib Presiden MCA, Datuk Seri Ti Lian Ker berkata, dakwaan berkenaan mungkin agenda daripada pihak yang tidak sabar untuk memisahkan UMNO dan MCA.
“Mereka tidak sabar mahu kahwin dengan UMNO kerana PH (Pakatan Harapan) kehausan sokongan Melayu, (baik) pilih UMNO daripada Pas dan Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia) yang pernah mereka kahwin kemudian cerai.
“Adalah tidak matang dan terlalu awal untuk MCA membuat keputusan kerana rakan komponen parti dalam UMNO sendiri masih ketidaktentuan dalam hala tuju mereka.
“Mungkin mereka ada agenda (dakwaan keluar BN) tapi suara-suara tidak puas hati dengan kesukaran dan melihat situasi pada hari ini memang ada,” jelasnya.
Semasa Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), MCA hanya memenangi dua daripada 44 kerusi Parlimen ditandingi iaitu Ayer Hitam yang dimenangi Presidennya, Datuk Seri Wee Ka Siong dan Naib Presidennya, Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng di Tanjung Piai.
Hubungan MCA dengan UMNO dilihat ‘kurang mesra’ selepas PRU15, disusuli dengan penyertaan BN dalam Kerajaan Perpaduan.
Beberapa pemimpin MCA juga dilihat vokal dalam menyuarakan pandangan dan mengkritik beberapa isu serta keputusan membabitkan pemimpin dalam Kerajaan Perpaduan. - Sinar Harian
#MCA #Chong Sin Woon #Zahid Hamidi #tinggal BN