Tiada perbincangan agihan kerusi PRN - Anwar
Madiha Abdullah
Mac 19, 2023 23:25 MYT
Mac 19, 2023 23:25 MYT
KUALA LUMPUR: Mesyuarat Sekretariat Kerajaan Perpaduan yang berlangsung pada Ahad tidak membincangkan pembahagian kerusi antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) bagi enam pilihan raya negeri (PRN) yang akan datang.
Dalam sidang media selepas mesyuarat itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan, perbincangan secara teliti tidak dibuat namun menjangkakan ia akan diputuskan dalam masa terdekat.
"Kita masih dalam proses (berbincang), akan dimuktamadkan dalam masa terdekat. Setakat ini perkembangan baik tetapi kita tidak bincang secara teliti kerana jawatankuasa mewakili parti terlibat akan terus berbincang," ujarnya ringkas.
Khamis lalu, Ketua Setiausaha PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail membayangkan kemungkinan perkara itu akan dibincangkan dalam mesyuarat tersebut.
Sementara itu, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, keputusan pemilihan UMNO memperlihatkan sokongan penuh akar umbi parti terhadap kerajaan perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan usaha untuk menggugat kerjasama itu ditolak oleh parti berkenaan.
"Pemilihan sayap-sayap UMNO peringkat Parlimen dan nasional, ditambah pemilihan peringkat bahagian dan nasional, jelas memperlihat cubaan untuk menggugat Kerajaan Perpaduan adalah boleh dielakkan.
"Ini kerana dapat dilihat daripada kesatupaduan pemilihan pimpinan UMNO, menggambarkan dukungan akar umbi jelas untuk kepimpinan di peringkat nasional.
"Ini sekali gus memberi dukungan penuh kepada keutuhan kerajaan. Manifestasi ini jelas kerana dapat dilihat walaupun ada usaha untuk menggugat kerjasama, ia jelas ditolak perwakilan, terdapat 160,000 yang buat pemilihan.
"Ini jelas satu signal bahawa unsur pemecah UMNO dari luar atau menyuntik perpecahan dari dalam ditolak. Jelas, akar umbi mahu kerajaan pimpinan Perdana Menteri diperkukuhkan," tegasnya.