Tiada pengiraan undi awal dibuat pada 5 Mei di Parlimen Bagan Datuk

Bernama
Mei 7, 2018 13:59 MYT
Jumlah pengundi awal yang layak membuang undi semasa Hari Pengundian Awal pada 5 Mei 2018 adalah seramai 1,033 orang pengundi, namun hanya 825 orang sahaja yang hadir mengundi. - Gambar fail
Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) menafikan sekeras-kerasnya dakwaan pihak tertentu kononnya telah berlaku proses pengiraan undi awal di Bahagian Pilihan Raya Parlimen P.075 Bagan Datuk, Perak selepas waktu pengundian awal iaitu pada 5 Mei 2018 (Sabtu).
Dalam hal ini SPR menegaskan bahawa semua proses pengiraan undi awal hanya akan dilakukan bermula jam 4 petang pada Hari Mengundi Biasa iaitu pada 9 Mei 2018 (Rabu) di Pusat Pengiraan Undi Awal yang ditetapkan oleh SPR.
Sebelum proses pengiraan awal dibuat, kesemua pihak-pihak berkepentingan terutama calon yang bertanding akan dimaklumkan secara rasmi oleh SPR untuk hadir dan menyaksikan proses pengiraan undi awal tersebut.
Berdasarkan siasatan SPR terhadap perkara ini, mendapati bahawa semua petugas pilihan raya telah mematuhi semua prosedur yang ditetapkan iaitu sebaik sahaja waktu pengundian awal ditutup tepat jam 5.00 petang, para petugas SPR telah mengemas dan mematerai semua peti undi awal dihadapan semua ejen-ejen calon yang bertanding dan telah membawa peti undi tersebut ke tempat simpanan yang selamat iaitu di Balai Polis Hutan Melintang.
Walaubagaimana pun, semasa proses penyimpanan peti undi awal tersebut, terdapat kacau ganggu oleh oleh sekumpulan orang termasuk calon daripada sebuah parti yang bertanding terhadap urusan penyimpanan peti undi awal itu kononnya terdapat penyelewengan dilakukan oleh petugas SPR.
Untuk rekod, jumlah keseluruhan pengundi awal di Kem Hutan Melintang yang didaftarkan adalah seramai 1,541 orang.
Walau bagaimanapun, terdapat seramai 508 orang pengundi awal tersebut telah memohon untuk pengundian secara pos.
Jumlah pengundi awal yang layak membuang undi semasa Hari Pengundian Awal pada 5 Mei 2018 adalah seramai 1,033 orang pengundi, namun hanya 825 orang sahaja yang hadir mengundi.
Selebihnya, 208 pengundi lagi tidak hadir mengundi.
SPR menyelar tindakan kacau ganggu oleh pihak terbabit terhadap petugas pilihan raya di bahagian pilihan raya berkenaan serta menafikan sekeras-kerasnya tuduhan tidak benar yang dibuat oleh pihak berkenaan. SPR menganggap tuduhan tersebut cuba menimbulkan kegemparan dikalangan masyarakat dengan tujuan untuk menarik perhatian pengundi.
#calon #Hari Pengundian Awal #Kem Hutan Melintang #Malaysia Memilih #PRU14 #siasatan #Suruhanjaya Pilihan Raya #undi pos
;