Tiada parti komponen, Friends of BN dipinggirkan - Ahmad Zahid

Bernama
Julai 21, 2024 10:40 MYT
Ahmad Zahid ketika menyampaikan ucapan pada Himpunan dan Konvensyen BN Sabah sempena sambutan Ulang Tahun Jubli Emas BN Ke-50 di Dewan Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Tiong Hua, Sandakan hari ini. --fotoBERNAMA
SANDAKAN: Tiada parti komponen Barisan Nasional (BN) dan Friends of BN dipinggirkan, malah semua disantuni dengan baik, kata Pengerusi BN Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Timbalan Perdana Menteri berkata semua parti komponen BN dan Friends of BN sentiasa melakukan sesi keterlibatan dan perbincangan bersama, mengenai pelbagai isu.
Malah beliau berkata Presiden MCA Datuk Seri Dr Wee Ka Siong yang juga Naib Pengerusi BN, diberikan penghormatan berucap dan merasmikan Himpunan BN Sabah dan Konvensyen BN Sabah hari ini, membuktikan parti komponen itu penting untuk BN.
"Pilihan raya kecil dan pilihan raya umum yang lalu kerusi-kerusi juga telah diperuntukkan, walaupun tidak semua tetapi kita beri peluang kepada Friends of BN untuk bertanding. Soal penyantunan ini telah dilakukan.
"Kita tidak mahu pandangan atau tafsiran daripada rakan atau mereka di luar BN maka kita terjebak dalam komen negatif yang dibuat oleh mereka, kita jaga kita," katanya pada sidang media selepas menutup Himpunan BN Sabah dan Konvensyen BN Sabah sempena Sambutan Ulang Tahun Jubli Emas Ke-50 BN di sini, hari ini.
Turut hadir Naib Pengerusi BN Datuk Arthur Joseph Kurup yang juga Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Setiausaha Agung BN Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Pengerusi BN Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin.
Sebuah portal berita sebelum ini memetik sumber mendakwa akar umbi MCA, yang merupakan salah satu parti komponen BN bersama UMNO, MIC dan PBRS, tidak lagi gembira dengan kedudukan parti itu dalam BN dan berasa dipinggirkan dalam kerajaan kini.
Ahmad Zahid berkata sekiranya pelantikan jawatan dalam kerajaan terutama Menteri dan Timbalan Menteri menjadi isu, beliau menjelaskan perkara itu di bawah bidang kuasa Perdana Menteri.
"Kalau mereka tiada wakil dalam kabinet itu bawah Perdana Menteri, insya-Allah bila ada pertemuan saya bisikkan perkara itu untuk beliau berikan peluang kepada pemimpin dalam komponen BN.
"Kalau tidak pun dalam kabinet, mungkin tempat lain difikirkan diberi peluang kepada rakan parti lain untuk bersama, malah mereka ada pengalaman," katanya.
Beliau berkata hanya orang luar itu sahaja yang tahu niat mengeluarkan tafsiran kepada BN seperti itu, namun yang penting usaha perlu terus dibuat bagi BN terus bangkit di arena politik negara.
Sementara itu, Ahmad Zahid berkata BN akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri Rembia Datuk Muhammad Jailani Khamis, yang menyertai PAS.
"Walaupun Muhammad Jailani masuk PAS pada Jun tahun lalu, tetapi beliau hanya mengeluarkan kenyataan baru-baru ini. Beliau harus ingat sebelum jadi calon beliau menandatangani beberapa dokumen.
"Parti akan mengambil tindakan perundangan berdasarkan dokumen yang ditandatangani dia itu," katanya.
-- BERNAMA
#Zahid Hamidi #Friends of BN #parti komponen #Wee Ka Siong