Tiada parasit, saya percaya yang tinggal adalah ahli setia - Ketua Armada
Hilmi Malik
Ogos 17, 2020 16:51 MYT
Ogos 17, 2020 16:51 MYT
Ketua Armada Nasional, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal yakin tiada golongan parasit yang berada dalam Armada yang kini berada di bawah pimpinannya.
Sebaliknya, beliau berpendapat mereka (ahli Armada) yang kini bersamanya merupakan ahli-ahli yang setia bersama parti selain bercadang untuk mengadakan perbincangan bersama kesemua pucuk pimpinan pemuda.
"Saya tak fikir ada golongan parasit, apa yang kita lalui beberapa bulan, kita pasti Armada yang ada bersama kami adalah mereka yang setia pada parti.
"Kita akan adakan perbincangan dengan kesemua pimpinan pemuda untuk merangka besar (hala tuju) Muafakat Nasional," katanya ketika sidang media Armada di Menara Yayasan Selangor pada Isnin.
Dalam pada itu, Wan Ahmad Fayhsal menegaskan apa yang menjadi keutamaan adalah menyusun strategi serta gerak kerja khususnya tumpuan terhadap pilihan raya.
"Ada beberapa keperluan mendesak memerlukan Armada memulakan gerak kerja secepat mungkin dan kami akan menumpukan usaha mengaktifkan jentera Armada.
"Ada dua cabaran utama iaitu PRK Slim dan PRN Sabah yang memerlukan saya dan barisan pimpinan baharu perlu uruskan," katanya.
Mengulas mengenai kepimpinan Syed Saddiq, beliau menghargai apa yang telah diperjuangkan sewaktu kepimpinannya selain memberi fokus ke arah penambahbaikan sayap pemuda yang disifatkan masih baru.
"Apa yang baik beliau (Syed Saddiq) tinggalkan, kita akan ingat sampai bila-bila, dan pada masa sama baiki kekurangan yang ada khususnya mematangkan sayap pemuda yang mungkin baru," katanya lagi.
Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal yang juga merupakan Timbalan Menteri Belia dan Sukan dipilih sebagai Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang baharu bagi penggal 2019 hingga 2022 pada pemilihan julung kali diadakan semalam.
Turut hadir, Timbalan Ketua Armada Sabah, Ceasar Mandela Malakun, yang juga merupakan Naib Ketua Armada bagi tempoh yang sama.
#ARMADA
#armada nasional
#Malaysia
#parasit
#politik
#pucuk pimpinan
#wan ahmad fayshal wan ahmad kamal