'Tiada masalah untuk Anina saman saya' - Tengku Adnan
Astro Awani
September 12, 2015 13:11 MYT
September 12, 2015 13:11 MYT
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Tengku Adnan Tengku Mansor tidak gentar dengan saman yang difailkan bekas ahli UMNO, Anina Saadudin terhadapnya pada Jumaat.
Tegasnya, kuasa yang diberikan membolehkan beliau memecat mana-mana anggota yang melanggar perlembagaan parti dengan serta merta.
Menyifatkan Anina sebagai duri dalam daging, Tengku Adnan melahirkan rasa kesal atas tindakan Anina yang cuba meruntuhkan keteguhan parti.
"Dia nak saman saya, nak saman Perdana Menteri, dia nak saman Setiausaha Kerja UMNO, Datuf Abdul Rauf Yusoh, biar dia saman. Kita akan jumpa dia di mahkamah kalau itu caranya kerana saya tidak melakukan apa-apa kesalahan, dia yang bersalah kerana menentang parti. Kita tidak mahu orang yang seperti ini dalam parti, duri dalam daging," ujarnya.
Anina yang merupakan bekas ahli Ahli UMNO Cawangan Kampung Padang Matsirat, Langkawi pada Jumaat memfailkan saman terhadap Tengku Adnan dan Abdul Rauf melalui Tetuan Haniff Khatri.
Beliau turut memohon mahkamah supaya mengisytiharkan surat yang dikeluarkan dan pemecatannya tidak sah dan terbatal.
Dia sebelum ini dipecat selepas menyaman Datuk Seri Najib Tun Razak dalam isu dana 2.6 bilion ringgit yang dimasukkan ke dalam akaun peribadinya.
Anina dipecat daripada UMNO selepas memfailkan saman terhadap Najib. Beliau didakwa melanggar Perkara 20.7 Perlembagaan UMNO kerana membawa hal parti ke mahkamah.
Anina sebelum ini memberi Tengku Adnan tiga hari untuk menarik balik pemecatannya.
Tengku Adnan tidak memberi maklum balas sebelum tarikh itu luput.