Tiada masalah jika Bersatu cabar keputusan yang Dipertua Dewan Rakyat di mahkamah - Johari

Bernama
Ogos 21, 2024 19:00 MYT
Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul semasa sidang media selepas membuat lawatan di Wisma Dewan Negeri Selangor hari ini. - Foto Bernama
SHAH ALAM: Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul tidak menolak kemungkinan parti Bersatu akan mencabar keputusannya tidak mengosongkan enam kerusi Parlimen bulan lepas, dengan membawa perkara itu ke mahkamah.
Beliau berkata perkara itu tidak menjadi masalah baginya kerana beliau yakin bahawa keputusan untuk mengekalkan enam kerusi yang diwakili Ahli Parlimen dari Bersatu itu dibuatnya mengikut lunas undang-undang.
"Mungkin mereka akan bawa ke mahkamah... itu hak mereka tetapi di peringkat saya, saya telah buat keputusan mengikut Peraturan Mesyuarat dan juga undang-undang, dan terpulang kepada mereka untuk tindakan selanjutnya," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melakukan lawatan kerja ke Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di Wisma Dewan Negeri di sini hari ini.
Pada 10 Julai lepas, Bersatu dilaporkan akan mengambil tindakan undang-undang untuk mencabar keputusan Johari tidak mengosongkan kerusi enam Ahli Parlimen parti itu sebagaimana notis yang dihantar kepada Speaker Dewan Rakyat meminta kerusi berkenaan dikosongkan selepas keahlian enam wakil rakyat itu dalam parti terhenti.
Berhubung lawatan kerja ke DUN Selangor, Johari berkata kunjungan ke Wisma Dewan Negeri itu adalah yang terakhir bagi negeri-negeri di Semenanjung sebelum bergerak ke Sabah dan Sarawak, dengan kemuncaknya adalah Persidangan Speaker-Speaker Parlimen dan DUN Se-Malaysia 2024 pada 11 hingga 14 Sept ini di Kuching, Sarawak.
Beliau berkata sepanjang lawatan itu, pihaknya mengenal pasti masih terdapat DUN yang menggunakan kaedah konvensional dalam menguruskan aturan dewan khususnya berkaitan soalan daripada wakil rakyat yang dilihat tidak sepadan dengan era digital ketika ini.
-- BERNAMA
#Yang Dipertua Dewan Rakyat #Johari Abdul #Bersatu cabar di mahkamah #mengosongkan enam kerusi Parlimen #Parti Bersatu