Tiada larangan untuk Haziq keluar negara
Astro Awani
Jun 15, 2019 20:02 MYT
Jun 15, 2019 20:02 MYT
Tiada larangan terhadap Haziq Abdullah Abdul Aziz, pemuda yang mengaku sebagai salah seorang pelaku dalam video intim tular, untuk meninggalkan negara selepas dibebaskan dari tahanan dengan jaminan polis.
Menurut peguamnya Ramesh Sivakumar, bagaimanapun anak guamnya sedia kembali bekerjasama dengan polis sekiranya dipanggil untuk membantu siasatan.
“Tiada apa lagi, itu yang diberitahu oleh pegawai penyiasat kepada saya.
“Tiada apa lagi, kecuali ada sesuatu yang baharu kemudian mereka boleh memanggilnya kembali. Tiada larangan untuknya meninggalkan negara,” katanya yang ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di sini pada Sabtu.
Bagaimanapun Ramesh memaklumkan bahawa dia tidak mengetahui mengapa Manila, Filipina menjadi destinasi Haziq berdasarkan tiket penerbangannya.
Haziq, 27, dibebaskan dengan jaminan polis pada 5.45 petang Sabtu selepas ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sehari sebelumnya ketika mahu berlepas ke Manila.
Penahanan itu dibuat sehari selepas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Santubong itu membuat pengakuan sebagai salah seorang pelaku dalam video intim yang didakwa melibatkan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.