Tiada lagi 'Sabah untuk Sabahan', dan 'Sarawak untuk Sarawakian' - Zahid
Nazialita Geynna Maharan
April 8, 2018 20:51 MYT
April 8, 2018 20:51 MYT
Tiada lagi “Sabah untuk Sabahan, dan Sarawak untuk Sarawakian”.
Itu merupakan antara harapan utama perlaksanaan Aku Janji dalam Manifesto Barisan Nasional yang diumumkan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak pada Ahad, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Ahmad Zahid ketika mengulas mengenai manifesto itu menjelaskan bahawa setiap struktur Aku Janji dalam manifesto BN menumpukan pembangunan dan memberi manfaat kepada setiap negeri di Malaysia.
Katanya, antara perkara yang diutarakan adalah memperkasakan dan memartabatkan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) melibatkan dua negeri iaitu Sabah dan Sarawak sebagai komponen utama.
"Mungkin ada beberapa tindakan yang terlepas pandang oleh beberapa pemimpin terdahulu terutama yang memimpin negara ini pada kadar panjang yang tidak mengambil lansung perkiraan untuk memenuhi perjanjian MA63 ini.
"Jelas bahawa manifesto (kali ini) mengambil kira tentang MA63 dan kita harap, rakyat di Sabah Sarawak tidak lagi memainkan isu “Sabah for Sabahan, dan Sarawak for Sarawakian,” katanya kepada pemberita dalam sidang media selepas merasmikan Program Walkabout Sempena Program Jualan Sentuhan Rakyat di perkarangan Wisma UMNO Bagan Datuk, Parit 4, Sungai Sumun, di sini pada Ahad.
Dalam manifesto yang dibentangkan tersebut, Barisan Nasional turut berjanji untuk mengembalikan hak-hak Sabah dan Sarawak seperti termaktub dalam MA63.
Selain itu, Najib turut berjanji hak penyeliaan kawalan elektrik dan gas akan dikembalikan kepada kerajaan Sabah dan Sarawak serta akan memulakan projek rintis penubuhan sekolah yang menggunakan Bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantara di Sabah dan Sarawak.
“Kuasa seliaan gas selama ini di bawah kerajaan persekutuan dan akan dikembalikan kepada kerajaan negeri (Sabah dan Sarawak), inilah permintaan rakyat di kedua-dua negeri ini.
“Datuk Seri Najib telah mengambil perkiraan terhadap pengembalian kuasa ini, justeru ia haruslah diterima dengan hati terbuka dan berlapang dada,” ujarnya.
Tegasnya, rakyat harus bijak menilai sebaiknya mengenai perlaksanaan aku janji oleh BN yang memperlihatkan perancangan komprehensif untuk seluruh lapisan masyarakat di Malaysia untuk lima tahun akan datang.
“Dengan 300 inisiatif yang ditawarkan, kita amat berharap rakyat akan turut memberikan dokongan kerana sebelum ini terbukti dokongan telah memberikan kesinambungan pemerintahan di negara kita,” tambahnya.