Tiada kesalahan sepanjang kempen PRK Port Dickson, kata ERC

Arfa Yunus, Diyana Ibrahim
Oktober 12, 2018 19:43 MYT
Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman berkata terdapat beberapa kesilapan tidak disengajakan yang menjadi perhatian badan tersebut. - Foto Astro AWANI/Shahir Omar
Jawatankuasa Khas Pembaikan Sistem dan Undang-Undang Pilihan Raya (ERC) berpuas hati dengan perjalanan kempen Pilihan Raya Kecil Port Dickson kali ini.
Bagaimanapun Pengerusinya Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman berkata terdapat beberapa kesilapan tidak disengajakan yang menjadi perhatian badan tersebut.
Katanya, kesilapan itu seperti terdapat beberapa menteri yang turun berkempen dan mengumumkan projek kerajaan.
“Adalah satu dua menteri yang kita dapati telah lakukan satu kesalahan dengan turun berkempen dan umum projek.
“Patutnya benda itu tidak patut berlaku. Kalau nak umumkan janganlah umum masa PRK, buatlah sebelum atau selepas.
“Tapi kata kira ia sebagai satu kesalahan yang tidak disengaja dan terpencil,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Sebelum ini Menteri Pertahanan Mohamad Sabu dikritik ramai kerana kenyataannya meminta pesara tentera mengundi calon Pakatan Harapan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menteri itu berkata kebajikan tentera akan lebih terjamin jika mereka mengundi Anwar.
Selain itu beliau menegur Timbalan Perdana Menteri Datuk Dr Wan Azizah Wan Ismail yang turun berkempen untuk suaminya, Anwar pada PRK Port Dickson.
“Memang suami isteri kita tidak dapat elakkan, kalau terpakai satu kereta.
“Tapi yang salahnya kalau beliau gunakan status sebagai Timbalan Perdana Menteri dalam kempen, itu tidak sepatutnya berlaku," jelasnya.
Abdul Rashid yang juga merupakan bekas pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berkata jawatankuasa akan meneliti kesalahan tersebut dan membuat pengesyoran bagi penambahbaikan sistem pilihan raya.
#Abdul Rashid Abdul Rahman #Anwar Ibrahim #Pakatan Harapan #Parlimen #pilihan raya kecil #Port Dickson #PRK #PRK Port Dickson
;