Tiada kerjasama UMNO-Pas selagi Hadi presiden - Ahmad Zahid
Abd Razak Mohd Ali
Julai 8, 2024 15:40 MYT
Julai 8, 2024 15:40 MYT
KUALA KANGSAR: Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi membayangkan tidak akan ada kerjasama dengan Pas selagi Tan Sri Abdul Hadi Awang menjadi presiden parti komponen Perikatan Nasional (PN) itu.
Menurutnya, keputusan itu ekoran pengalaman bekerjasama dengan parti tersebut sebelum ini yang menyaksikan banyak keputusan bersama di antara kedua-dua parti dikhianati Pas.
"Pas ini membohong dari dulu sampai sekarang. Saya ini saksi hidup bincang empat mata dengan Hadi Awang. Sewaktu berdepan kita setuju, tetapi esok tukar, tidak setuju.
"Jangan percayalah, selagi orang itu jadi presiden. Jangan harap kita hendak bekerjasama dengan parti yang menunggang Islam," katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Kuala Kangsar 2024 di Dewan Jubli Perak di sini, hari ini.
Ahmad Zahid mengakui bahawa rakan-rakan dari parti Pakatan Harapan (PH) ikhlas bekerjasama sama ada di dalam kerajaan mahupun gerak kerja politik.
Katanya, ia dapat dilihat menerusi kerjasama dalam beberapa siri pilihan raya kecil (PRK) sebelum ini.
Malah, kata beliau, ketika pembentukan Kerajaan Perpaduan di Perak, biarpun Barisan Nasional (BN) hanya mempunyai sembilan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) tetapi PH mahu Menteri Besar dipilih dalam kalangan pemimpin BN.
Tambahnya, situasi sama turut berlaku di Pahang apabila PH turut sedia menerima Menteri Besar daripada BN