Tiada keperluan wujudkan UMNO lama - Zahid Hamidi
Abd Razak Mohd Ali
Oktober 9, 2021 12:53 MYT
Oktober 9, 2021 12:53 MYT
BAGAN DATUK: Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berpendapat, tiada keperluan untuk mewujudkan semula ‘UMNO lama’ yang telah diharamkan oleh mahkamah pada tahun 1988.
Sebaliknya, kata beliau, semangat yang ada pada UMNO lama itu harus disuntik kepada UMNO yang ada sekarang.
Menurutnya, walaupun seseorang warganegara bebas untuk menubuhkan parti politik tetapi jika terlalu banyak, tidak akan ada satu parti dominan yang boleh menjadi tunjang dalam sistem demokrasi bagi membentuk kerajaan.
"Bagi kami dalam pimpinan UMNO tidak ada UMNO lama dan tidak ada UMNO baharu, yang penting UMNO itu satu saja dan kita mengambil perkiraan semua peringat umur termasuk veteran.
"Jika ada perbedaan pendapat ini sering diraikan oleh kepimpinan dan saya tidak fikir perlunya semangat untuk menghidupkan sesuatu parti yang telah diharamkan dari segi perundangan pada 1988 dan semangat itu harus disuntik di dalam UMNO yang ada sekarang ini dan mari kita berpadu supaya kita dapat bergerak dalam satu landasan yang sama," katanya.
Beliau ditemui ketika meninjau program 'outreach' vaksinasi Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di Parlimen Bagan Datuk, pada Sabtu.
Hadir sama, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.
Menurutnya, segala perbezaan ideologi dan pegangn politik harus diketepikan bagi mengelakkan landskap politik yang berlaku pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) daripada berulang.
Ia sekaligus dapat mewujudkan kestabilan politik bagi memperkukuhkan ekonomi kerana rakyat telah muak perbezaan yang amat ketara dalam kalangan tokoh-tokoh politik.
Pada Jumaat, Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah mengetuai mesyuarat dengan sekumpulan veteran UMNO bagi membincangkan usaha mewujudkan semula 'UMNO lama'.
Menurut bekas Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO itu, pertemuan tersebut susulan kebimbangan dalam kalangan veteran parti tersebut terhadap situasi semasa politik negara ketika ini.
Menurutnya, rakyat bimbang ketidaktentuan politik serta kemampuan kerajaan yang diterajui UMNO ketika ini mengembalikan kestabilan dalam negara.
Mengulas sama ada hasrat Tengku Razaleigh itu memungkinkan tertubuhnya parti baharu yang mirip Parti Semangat 46 yang pernah ditubuhkan Ahli Parlimen Gua Musang itu, Ahmad Zahid hanya menjawab "Sekilas ikan di air, boleh tahu jantan atau betinanya."