Tiada keperluan mendesak adakan PRU15 dalam masa terdekat - SAPP

Radhi Muslim
November 29, 2021 10:31 MYT
YONG: Kerajaan sudah berjalan, biarlah ia berjalan sehingga habis tempoh. - Foto Astro AWANI
SANDAKAN: Parti Maju Sabah (SAPP) setakat ini tidak bersetuju sekiranya pilihan raya umum ke-15 (PRU15) diadakan dalam masa terdekat.
Presidennya Datuk Seri Yong Teck Lee menegaskan, tiada sebarang perkara mendesak untuk PRU diadakan dengan kadar yang segera.
Menurutnya, kerajaan yang ada ketika ini harus diteruskan sehingga tempoh penggal mandat yang diberikan berakhir.
“Sama ada pilihan raya umum Parlimen diadakan dalam masa terdekat atau tidak, ini memang mengikut kebijaksanaan Perdana Menteri.
“Bagi saya dan bagi SAPP, belum ada keperluan diadakan pilihan raya umum. Masih ada satu tahun lebih. Tidak ada sebab yang mendesak supaya ada pilihan raya umum Parlimen.
“Kerajaan sudah berjalan, biarlah ia berjalan sehingga habis tempoh,” katanya pada sidang media sempena Majlis Penerimaan Ahli Baru Pasti Maju Sabah (SAPP) di sini semalam.
Sebelum ini, Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan menyuarakan pandangan supaya PRU15 diadakan dalam masa terdekat.
Pandangan beliau menerima pelbagai reaksi termasuk dari kalangan pemimpin yang tidak bersetuju ekoran keadaan wabak pandemik COVID-19 yang masih belum reda sepenuhnya.
#Yong Teck Lee #PRU15
;