Tiada keperluan 3 Timbalan Speaker Dewan Rakyat - Perikatan Nasional

Astro Awani
Oktober 7, 2021 10:02 MYT
Muhyiddin berkata, cadangan pindaan perlembagaan itu memerlukan sokongan majoriti dua pertiga Ahli-Ahli Dewan Rakyat. - Astro AWANI/Shahir Omar
KUALA LUMPUR: Majlis Tertinggi Perikatan Nasional membuat keputusan bahawa tiada keperluan untuk mewujudkan satu lagi jawatan Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat pada masa ini.
Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin malah menegaskan, tiada keperluan bagi Perlembagaan Persekutuan dipinda untuk menambah satu lagi jawatan Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat pada masa ini.
"Kewujudan dua Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat seperti mana yang termaktub dalam Perkara 57(1)(b) Perlembagaan Persektuan adalah memadai bagi tujuan menjamin kelicinan perjalanan mesyuarat Dewan Rakyat.
"Selain itu, peruntukan Perkara 57(3) Perlembagaan Persekutuan yang membenarkan mana-mana Ahli Dewan Rakyat mempengerusikan Mesyuarat Dewan Rakyat pada masa ketiadaan Yang di-Pertua dan Timbalan-Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat juga adalah memadai bagi tujuan menjamin kesempurnaan perjalanan Mesyuarat Dewan Rakyat," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, cadangan pindaan perlembagaan itu memerlukan sokongan majoriti dua pertiga Ahli-Ahli Dewan Rakyat.
"Perikatan Nasional berpendirian bahawa persefahaman antara Kerajaan dan pembangkang di Parlimen adalah terhad kepada perkara-perkara yang telah dipersetujui bersama dan termaktub secara jelas dalam Memorandum Persefahaman Transformasi dan Kestabilan Politik yang ditandatangani antara Perdana Menteri dan pimpinan Pakatan Harapan pada 13 September 2021.
"Pindaan Perlembagaan untuk menambah jawatan Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat tidak termaktub dalam memorandum persefahaman tersebut," ujarnya.
Justeru beliau berpandangan adalah tidak wajar bagi mana-mana pihak untuk menuntut pelaksanaannya.
Atas dasar ini, katanya Perikatan Nasional telah membuat pendirian untuk tidak menyokong sebarang cadangan pindaan perlembagaan bagi tujuan tersebut.
#Perikatan Nasional #Timbalan Yang Di-Pertua #Dewan Rakyat #Muhyiddin Yassin
;