'Tiada kaitan pengaruh terhadap kemenangan Yana'

Sinar Harian
Mac 15, 2023 14:12 MYT
ROSMAH: Saya percaya mereka yang dipilih untuk menang tak kira siapa pun jua adalah kehendak perwakilan dari akar umbi UMNO itu sendiri dan ketentuan Allah. - Gambar fail BERNAMA
SHAH ALAM: Datin Seri Rosmah Mansor menafikan bahawa beliau terlibat dalam mempengaruhi kemenangan anaknya yang berjaya menjawat jawatan Exco Pergerakan Puteri UMNO semasa sesi pemilihan baru-baru ini.
Jelas isteri bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak itu, kejayaan yang diperoleh Nooryana tersebut merupakan hasil usahanya sendiri.
“Yana (Nooryana) sentiasa mengikut segala nasihat daripada bapanya. Pesan Najib pada Yana, kalau nak berpolitik perlu mula dari bawah dan santuni rakyat serta ahli-ahli UMNO di semua peringkat daripada ahli biasa hinggalah kepada pimpinan.
“Kekalahan dan kemenangan adalah atas kehendak ALLAH SWT diganding dengan usaha dan jasa yang kita taburkan kepada parti.
“Saya percaya mereka yang dipilih untuk menang tak kira siapa pun jua adalah kehendak perwakilan dari akar umbi UMNO itu sendiri dan ketentuan ALLAH SWT,” katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Rabu.
Nooryana dipilih sebagai Ketua Puteri UMNO Lembah Pantai dan tersenarai calon menang dalam barisan jawatan Exco Puteri.
Pemilihan tersebut adalah yang pertama menyaksikan pencalonan beliau selepas Najib tidak lagi menjadi presiden parti itu.
Dalam pada itu, Rosmah menambah, apa yang menjadi fokus utama buatnya kini adalah memperjuangkan keadilan suaminya serta menjaga kebajikan keluarga.
“Terlalu banyak dugaan sejak beberapa tahun ini yang perlu saya dan keluarga harungi, masakan pula saya mempunyai masa dan upaya untuk campur tangan dalam urusan pemilihan UMNO.
“Sepanjang dugaan dan cabaran yang kami hadapi ini, Alhamdulillah terdapat ramai sahabat yang sentiasa setia bersama dan berjuang dengan kami,” katanya.
Beliau menzahirkan penghargaan kepada semua sahabatnya yang selama ini setia dalam perjuangan dan berharap semua perwakilan dapat menilai mereka dengan baik.
“Semoga perwakilan menilai keikhlasan dan kesetiaan mereka yang boleh diterjemahkan kepada parti,” ujar Rosmah. - Sinar Harian
#Rosmah Mansor #Pemilihan UMNO #Puteri UMNO #Nooryana Najib
;