Tiada isu nepotisme di PRK Port Dickson - Azmin Ali

Ruzaini Zulkepli
September 14, 2018 20:19 MYT
Azmin ketika ditemui media selepas Taklimat Pembangunan Negeri Sabah, di Kota Kinabalu hari ini,
Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Azmin Ali percaya tidak timbul isu nepotisme dalam kerajaan susulan pengumuman Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang akan bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson.
Jelas beliau, keputusan telah diambil dan pencalonan bagi PRK itu juga telah diumumkan dan apa yang menjadi keutamaan ketika ini adalah untuk memastikan kerusi itu kekal milik Pakatan Harapan (PH) dan semua pihak perlu bekerjasama untuk menambah undi majoriti dalam PRK berkenaan.
"Keputusan telah diambil jadi semua pihak perlu fokus kepada misi untuk memastikan kerusi itu kekal milik Pakatan Harapan," katanya.
BACA: Tidak masuk akal, satu tohmahan tidak berasas - Azmin Ali
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Taklimat Pembangunan Negeri Sabah, di sini, hari ini, susulan kenyataan Bekas Pengerusi BERSIH 2.0, Datuk S Ambiga yang mendakwa unsur nepotisme akan wujud dalam kerajaan selepas pengumuman Anwar akan bertanding di Parlimen Port Dickson.
Azmin yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi berkata, selepas mengikuti sesi taklimat berkenaan terdapat beberapa isu yang perlu diberi perhatian di negeri ini, iaitu isu gangguan bekalan elektrik, isu bekalan air bersih, isu pembangunan Infrastuktur termasuklah Pan Borneo dan juga industri pelancongan.
Katanya, sejajar dengan seruan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, Kerajaan Persekutuan akan memberikan fokus kepada isu-isu ini dan akan memberikan komitmen sebaik mungkin bagi memastikan kepentingan rakyat Sabah ini dapat dibela dan seterusnya meransang kepada pembangunan di negeri ini.
"Selepas taklimat pada hari ini, saya dapati beberapa isu perlu diberi perhatian segera khususnya soal gangguan bekalan elektrik, bekalan air bersih termasuk juga infrastuktur yang lain serta industri pelancongan."
"Kita akan lihat perkara ini secara menyeluruh dan teruskan kerjasama dengan kerajaan negeri Sabah untuk memastikan hak rakyat Sabah terbela dan pembangunan di negeri ini juga terus dapat dilaksanakan," katanya.
#Anwar Ibrahim #Azmin Ali #Kota Kinabalu #Mahathir Mohamad #nepotisme #Perdana Menteri #PKR #politik
;