Tiada isu khusus pertemuan Abdul Hadi-Tun Mahathir

Abd Razak Mohd Ali
April 2, 2022 12:40 MYT
Datuk Idris Ahmad berkata, ia hanya perjumpaan biasa yang lazim dilakukan oleh pemimpin-pemimpin Pas. - Astro AWANI
TAIPING: Tiada isu khusus yang akan dibincangan dalam pertemuan antara Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan Pengerusi Pejuang, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad berkata, ia hanya perjumpaan biasa yang lazim dilakukan oleh pemimpin-pemimpin Pas.
"Kita jumpa dengan semua orang, itu hebatnya Pas. Tak ada apa, dengan Tun Mahathir ini memang dari dulu perlu kita jumpa, sebelum dia jadi PM kita jumpa. Pas ini engage (berurusan) dengan semua orang," ujar beliau.
Idris yang juga Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) ditemui selepas Majlis Sumbangan Ihya Ramadan Parlimen Bukit Gantang di Dewan Bunga Raya, Changkat Jering pada Sabtu.
Pada Jumaat, Abdul Hadi mengesahkan akan mengadakan pertemuan dengan Tun Mahathir tidak lama lagi.
Menurutnya, Pas bersedia bekerjasama dengan dengan mana-mana parti yang tidak ekstrem dan liberal untuk menyatukan ummah.
Beliau akan menjadi pimpinan tertinggi Perikatan Nasional (PN) kedua untuk berjumpa bekas perdana menteri itu, pada saat gabungan itu berusaha mengukuhkan kedudukannya menjelang PRU15.
Terdahulu, pada Khamis, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan telah bertemu dengan Tun Mahathir kira-kira dua minggu selepas PRN Johor, berhubung kemungkinan kerjasama untuk PRU15.
Dalam pertemuan itu, Tun Mahathir berkata, beliau tidak menyokong usaha Muhyiddin untuk sekali lagi menjadi perdana menteri.
Mengulas apakah perjumpaan Muhyiddin dan Tun Mahathir mewakil PN dan telah dibincangkan terlebih dahulu di peringkat PN, Idris berkata, beliau tidak maklum mengenai perkara tersebut kerana tidak terlibat dalam pimpinan tertinggi gabungan itu.
#Abdul Hadi Awang #Mahathir Mohamad #politik #pemimpin politik
;