Tiada cubaan goyahkan Kerajaan Perpaduan, ia memang tidak stabil - Mohd Amar
Muhafandi Muhamad
Mac 8, 2023 19:43 MYT
Mac 8, 2023 19:43 MYT
KOTA BHARU: Tiada cubaan untuk menggoyahkan kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang akan dicetuskan pembangkang termasuk dari Perikatan Nasional (PN).
Sebaliknya, Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Abdullah berpandangan mungkin ada timbul rasa tidak puas hati dalam kalangan Ahli Parlimen dalam gabungan itu sendiri terhadap beberapa isu setelah melihat hala tuju yang dibawa Anwar selepas dua bulan mentadbir kerajaan.
Keadaan ini katanya mendorong suasana tidak kondusif dalam Kerajaan Perpaduan itu sendiri.
“Kita dengarnya ada rasa tidak aman dan ada tidak puas hati dalam kalangan ahli dia (Kerajaan Perpaduan) sendiri dan paling ketara ada kenyataan DAP, dari wakil rakyat GPS (Gabungan Parti Sabah) dalam Parlimen, antara tanda-tanda ketidakpuasan. DAP kita kenal, kita pernah berkawan dulu, dia tak pandai nak hormat orang lain.
“Kita tengok parti-parti yang ada nak bawa kepala (pandangan) dia, teruatama DAP. Semua jadi masalah dan ada pandangan kata kerajaan tak lama kerana masalah dalaman itu sendiri, bukan ada orang nak khianat,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas Mesyuarat Exco di Kota Darulnaim, di sini hari ini.
Sebelum ni, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dilaporkan mengakui PN sedang berusaha untuk menjatuhkan Kerajaan Perpaduan.
Bagaimanapun, Mohd Amar berkata, kenyataan yang disampaikan oleh Abdul Hadi itu mungkin disalah anggap dan di luar konteks terjemahan.