Tiada bukti kukuh UMNO Kedah hilang 40 peratus sokongan

Bernama
Mei 21, 2023 16:02 MYT
Mahdzir berkata tiada bukti tepat yang dapat mengukuhkan perkara itu kerana kenyataan berkenaan hanya dibuat oleh sumber dan penganalisa luar. - Fail/Astro AWANI
ALOR SETAR: Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri Kedah Datuk Seri Mahdzir Khalid hari ini menolak andaian yang UMNO Kedah telah kehilangan 40 peratus sokongan daripada akar umbi parti itu.
Beliau berkata tiada bukti tepat yang dapat mengukuhkan perkara itu kerana kenyataan berkenaan hanya dibuat oleh sumber dan penganalisa luar yang tidak mengetahui keadaan semasa parti itu khususnya di Kedah.
"Saya fikir, setiap kali pilihan raya akan ada penganalisa yang buat andaian macam-macam dan angka 40 peratus itu entah dari mana dia dapat..apa-apa pun ia bergantung kepada kekuatan semasa parti dan setakat ini tiada ahli UMNO Kedah yang lari.
"Itu kenyataan penganalisa, ia tidak tepat, tiada bukti...apa yang berlaku itu adalah usaha-usaha propaganda parti lain yang cuba mahu kekalkan dan pertahankan sokongan mereka pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang sama seperti yang diperoleh semasa Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15)," katanya ketika diminta mengulas mengenai dakwaan berkenaan.
Sebuah portal hari ini melaporkan bahawa seorang pemimpin UMNO bahagian di Kedah mendakwa parti itu sedang berdepan dengan kehancuran dalam PRN yang dijangka berlangsung tidak lama lagi.
Diminta mengulas mengenai kenyataan Ahli Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan yang meminta ahli parti itu untuk mengundi calon DAP pada PRN akan datang, Mahdzir berkata tidak menjadi masalah untuk ahli UMNO mengundi calon parti berkenaan.
"Itu yang disebut pilihan raya...bila sudah duduk dalam Kerajaan Perpaduan ini, Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) adalah dalam satu komponen jadi tidak ada masalah untuk mereka undi DAP sama seperti yang dinyatakan Ahmad.
Terdahulu, Mahdzir merasmikan majlis penutupan Konvesyen Perpaduan Negeri Kedah yang berlangsung di sini hari ini.
-- BERNAMA
#Mahdzir Khalid #hilang sokongan #UMNO Kedah #Ahmad Maslan
;