Tiada alasan UMNO, MCA, MIC untuk bersengketa - Pemuda Umno Segamat
Wan Syamsul Amly
September 16, 2016 13:58 MYT
September 16, 2016 13:58 MYT
Semua parti komponen Barisan Nasional (BN), terutamanya UMNO, MCA dan MIC, tiada alasan untuk bersengketa dan menarik muka pada saat bayangan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 sudah hampir tiba.
Ketua Pemuda UMNO Bahagian Segamat, Bastien Onn berkata, kesepakatan di bawah BN menjadi formula parti pemerintah terus menyumbangkan bakti dan mengekalkan kemakmuran negara selama ini.
"UMNO dan MCA bergabung membentuk satu perikatan pada 1954 dan kemudian MIC menuruti pada tahun 1955. Di bawah perikatan, parti-parti ini menuntut kemerdekaan yang berjaya diperolehi pada 1957.
"Sejak itu, mereka memperoleh sokongan rakyat dan seterusnya bertukar menjadi BN yang mentadbir negara ini sehingga sekarang.
"Sedang pembangkang masih mencari-cari formula untuk membentuk kesepakatan, BN sudah mempunyai formula yang berjaya," katanya sambil menegaskan persengketaan itu harus dielakkan.
Menurutnya, semangat perikatan itu perlu diteruskan dengan mengadakan percambahan idea yang berlandaskan integriti, bagi menempuh PRU14, bukan dengan berbalah di media terbuka.
"Tiada alasan kita mahu bergaduh sesama sendiri," katanya ketika dihubungi Astro AWANI, mengulas beberapa persengketaan yang wujud di antara pemimpin UMNO, MCA dan MIC akhir-akhir ini.
Ia turut diakui beberapa pemimpin BN yang tidak menolak berlaku pertikaman lidah antara pemimpin parti sendiri.
Dalam pada itu jelas Bastien, sebarang perbezaan pendapat mesti dilakukan dalam saluran parti yang harmoni.
"Kita boleh berbincang, berbeza pendapat dan seterusnya mengambil kesempatan itu untuk bermuafakat bagi mendapatkan penyelesaian," katanya.
Beliau juga mengingatkan mengenai pentingnya saling hormat-menghormati antara setiap parti yang membentuk BN kerana mereka mewakili kaum masing-masing.
"Ada masanya MCA lemah, kita bantu. Apabila MIC kuat, mereka bantu kita. Dan begitu juga semangat dengan parti-parti komponen BN di Sarawak," katanya.
Katanya lagi, keupayaan orang Melayu untuk melindungi kaum-kaum minoriti yang lain menunjukkan keupayaan dan kekuatan UMNO yang sebenar.
"Inilah UMNO yang menjadi tunjang kekuatan BN selaku parti yang mewakili orang Melayu terbesar.
"Marilah kita tunjukkan kekuatan kita yang sebenar dalam semangat 1Malaysia dan kemuafakatan yang tinggi semasa menyambut Hari Malaysia," ujarnya.