"Tiada agenda perbincangan desak PM campur tangan urusan mahkamah" - Asyraf Wajdi
Irwan Muhammad Zain
Ogos 22, 2022 20:37 MYT
Ogos 22, 2022 20:37 MYT
KUALA LUMPUR: Ketua Pemuda UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki menafikan dakwaan bahawa terdapat desakan agar Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mencampuri urusan mahkamah.
Dalam satu kenyataan di Facebooknya pada Isnin, Asyraf Wajdi mendakwa, laporan yang disiarkan Astro AWANI memetik sumber dalaman yang 'tidak berasas' hingga mencetuskan 'persepsi negatif'.
"Saya turut berada dalam mesyuarat yang bermula kira-kira pukul 11.30 pagi hingga pukul 1.30 tengah hari.
"Tiada langsung agenda perbincangan mendesak PM mencampuri urusan mahkamah apatah lagi seolah-olah wujud pertentangan di kalangan kepimpinan Bahagian mengenainya.
"Apakah logik untuk mendesak PM campur tangan kes SRC yang sudah sampai ke peringkat Mahkamah Persekutuan? Lagipun bukan PM yang melantik Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan yang ada hari ini, tidak sebagaimana zaman Tun (Dr) Mahathir yang terlibat dalam pemilihan hakim-hakim seperti dakwaan Tommy Thomas selaku bekas Peguam Negara dalam bukunya ‘My Story: Justice in the Wilderness.’
"Apa yang boleh saya kongsikan secara umum, perbincangan tadi lebih kepada isu-isu mengenai PRU15 )(Pilihan Raya Umum ke-15).
LAPOR LANGSUNG: Mesyuarat Tergempar: UMNO nafi Ketua Bahagian diarah gerak usul desak PM bubar Parlimen
"Saya berharap AWANI lebih bertanggung-jawab dalam penglaporan berita dan berpegang kepada etika kewartawanan yang tinggi bukan seperti media-media pojok murahan yang lain," katanya.
Terdahulu, Astro AWANI melaporkan mesyuarat tergempar melibatkan Ketua-Ketua Bahagian UMNO yang berlangsung di ibu pejabat parti itu di Menara Dato' Onn, di ibu negara, pada Isnin gagal mencapai kata sepakat untuk mendesak Perdana Menteri campur tangan dalam kes mahkamah melibatkan Datuk Seri Najib Tun Razak.
Sumber dalaman memberitahu Astro AWANI, ramai dalam kalangan Ketua-Ketua Bahagian yang hadir mesyuarat tersebut tidak bersetuju dengan arahan yang dikeluarkan pemimpin utama UMNO.
Menurut sumber itu lagi, ada dalam kalangan kalangan Ketua Bahagian yang terpaksa datang selepas dipercayai diberi kata dua, tidak akan diberi watikah untuk bertanding dalam PRU15.