Tiada ADUN lain akan ikut jejak Abdul Rashid
Sinar Harian
Mac 8, 2024 09:30 MYT
Mac 8, 2024 09:30 MYT
SHAH ALAM: Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Razali Idris yakin tiada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) lain akan mengikut jejak langkah Datuk Abdul Rashid Asari yang mengisytiharkan beralih sokongan.
Menurutnya, tindakan ADUN Selat Klang itu juga tidak dipersetujui oleh wakil rakyat lain kerana dianggap membelot kepada pengundi.
“Setakat yang saya tahu tidak ada apa-apa (ADUN lain yang akan lompat).
"Di Terengganu kita ada lima ADUN dan satu ahli Parlimen yang solid (dengan perjuangan parti) kerana kita selalu jumpa dan berbincang.
“Di negeri-negeri lain seperti Kelantan, Kedah dan Perlis juga saya tidak nampak ada masalah kerana negeri di bawah kerajaan kita (Perikatan Nasional). Negeri-negeri lain pun saya lihat tidak ada masalah.
“Hanya Abdul Rashid sajalah yang khianat Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam sejarah dan kita nampak selepas tindakan beliau semalam (Rabu), 60 ADUN (Bersatu) bersama kita nampaknya tidak bersetuju dengan beliau,” katanya kepada Sinar Harian.
Sementara itu, Razali dalam masa sama turut mencabar Abdul Rashid supaya mengosongkan kerusi yang disandangnya jika tidak bersetuju dengan perjuangan parti.
Ini kerana katanya, tindakan menyatakan sokongan kepada kepimpinan parti lawan jelas mengkhianati parti serta pengundi yang memilih mereka.
Pada Rabu, bekas Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Selangor, Datuk Abdul Rashid Asari mengisytiharkan sokongan kepada kepimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari.
Menurut Abdul Rashid yang juga ADUN Selat Klang, keputusan itu dibuat selepas meneliti perkembangan semasa dan mengambil kira beberapa faktor utama. - Sinar Harian