Thangeswary dilantik Speaker wanita pertama DUN Perak

Nazialita Geynna Maharan
Ogos 9, 2016 15:53 MYT
S. Thangeswary (kanan) diisytihar sebagai Speaker Dewan Undangan Negeri yang ketiga belas bagi Perak Darul Ridzuan. - Foto Astro AWANI / Nazialita Geynna Maharan
Bekas Ketua Wanita MIC Perak, S Thangeswary telah dipilih sebagai Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak yang baharu menggantikan Datuk SK Devamany yang melepaskan jawatan itu baru-baru ini.
Pelantikan Thangeswary dibuat menerusi proses pengiraan undi, setelah beliau mendapat 30 undi manakala calon Pakatan Harapan V. Sivakumar memperoleh 24 undi, sementara empat undi berkecuali.
Sebelum ini, Pakatan Harapan menghantar borang pencalonan calon pada 26 Jun 2016 lepas dengan mencalonkan Timbalan Pengerusi DAP Perak dan juga Ahli Parlimen Batu Gajah, V. Sivakumar sebagai calon Speaker.
Sementara itu, Barisan Nasional pula mencadangkan Thangeswary yang juga merupakan Ketua Wanita MIC Hutan Melintang.
Timbalan Speaker Dewan, Datuk Nasaruddin Hashim kemudiannya mengisytiharkan Thangeswary sebagai Speaker DUN yang ke-13 bagi Perak Darul Ridzuan.
Sebaik diisytihar Speaker Dewan, Thangeswary kemudian mengangkat sumpah sebelum memulakan sesi persidangan.
Kerusi Speaker DUN Perak sebelum ini kosong berikutan Timbalan Presiden MIC, Datuk SK Devamany melepaskan jawatan tersebut yang disandang sejak 2013 susulan pelantikannya sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri dalam rombakan Kabinet pada 27 Jun lepas.
Thangeswary, yang sebelum ini merupakan peguam bertauliah bergiat aktif dalam arena politik sejak 30 tahun lepas dan pernah bertanding dalam Pilihan Raya Umum 2008 dan 2013 di DUN Hutan Melintang.
#DUN Perak #MIC Perak #S. Thangeswary #Speaker
;