Teruskan perjuangan bela parti selagi hayat dikandung badan - Tajuddin
Sinar Harian
April 21, 2024 06:45 MYT
April 21, 2024 06:45 MYT
PASIR SALAK: Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman menyatakan hasrat untuk tidak bertanding sebarang jawatan dalam UMNO termasuk menjadi calon pada pilihan raya umum akan datang.
Bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO itu berkata, matlamat beliau hanya untuk membantu parti UMNO kembali bangkit menebus kekalahan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.
"Saya tak ada nak bertanding menjadi wakil rakyat, pengerusi GLC (syarikat milik kerajaan) dan timbalan menteri. Saya sudah merasa semua jawatan itu.
"Saya cuma hendak parti UMNO dan Barisan Nasional (BN) dapat kembali bangkit menebus kekalahan yang sudah.
"Ini bukanlah bermakna saya bersara dalam politik. Saya akan tetap teruskan perjuangan membela parti untuk bangkit semula selagi hayat dikandung badan," katanya ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di kediamannya di Kampung Gajah di sini semalam.
Tajuddin yang juga bekas Ahli Parlimen Pasir Salak berkata, UMNO kini disifatkan dalam keadaan 'sakit' kerana parti itu masih gagal menemui rawatan sewajarnya.
Tambah beliau, kebangkitan semula parti boleh dilakukan sekiranya menemui 'ubat' yang tepat.
"Kalau esok pilihan raya, kita (UMNO) akan kalah, tetapi kita masih ada masa untuk memperkukuhkan dan memperkuatkan kerja bagi memastikan UMNO mampu bangkit dengan tindakan yang tepat.
"UMNO di dalam keadaan sekarang ini sakit, sakit tenat pula itu dan orang yang sakit kena mendapatkan ubat serta pakar yang pandai dalam mencari ubat mujarab supaya kembali sihat," katanya.
Dalam perkembangan lain, Tajuddin berkata, apa yang berlaku dalam perjalanan karier politiknya bukanlah kesalahan parti.
"Tiada masalah semua itu. Saya tidak menyalahkan parti kerana apa yang berlaku pada diri saya bukan kerana parti. Yang buat salah adalah orang tertentu, kenapa parti pula yang dihukum.
"Kita perlu tahu perbezaan antara parti dengan individu. Kalau orang hari ini ada di situ, esok lusa dia dah tiada. Kalau kita buang parti bermakna habislah sedangkan kita mahu parti bangkit semula," katanya.
Tajuddin sebelum ini dilapor digantung keahlian parti selama enam tahun susulan keputusan mesyuarat MKT UMNO yang diadakan pada 30 September 2022.
Pada 21 Julai tahun lalu, bekas Ahli Parlimen Pasir Salak itu memaklumkan sudah mengemukakan rayuan sebanyak empat kali, namun permohonannya tidak dibalas dan kemudiannya berhasrat untuk tidak merayu lagi. - Sinar Harian