Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah menyerahkan kepada kebijaksanaan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk mengambil tindakan segera bagi menyelesaikan kemelut politik Kedah.

Menurutnya, kemelut itu tidak boleh dibiarkan berpanjangan, kerana ia akan menjejaskan persediaan UMNO dan Barisan Nasonal menjelang Pilihanraya Umum ke-14.

Ahmad Bashah berkata, beliau bersedia menerima apa juga keputusan Perdana Menteri berdasarkan kepada hak prerogatif yang ada padanya.

"PM (Najib) kata dia akan selesai dengan segera, kalau tidak kemelut akan berpanjangan.

"Jadi kami serah kepada kebijaksanaan Perdana Menteri," katanya ketika ditemui pemberita di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim di sini hari ini.

Suasana politik di Kedah 'panas' sejak beberapa hari selepas beberapa Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan anggota Parlimen UMNO Kedah, serta pemimpin kanan UMNO negeri yang diketuai Ahmad Bashah, secara terbuka menyuarakan hilang keyakinan terhadap kepimpinan Mukhriz sebagai Menteri Besar dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri.

Namun, Mukhriz menegaskan beliau akan kekal sebagai Menteri Besar selagi khidmatnya diperlukan oleh rakyat Kedah.

Pada Jumaat, 14 Ketua Bahagian UMNO Kedah mengadakan pertemuan dengan Najib berhubung desakan mereka supaya Mukhriz berundur.

Menurut Ahmad Bashah, pertemuan di Menara Dato Onn itu langsung tidak menyebut tentang nama yang dicadangkan sebagai Menteri Besar Kedah yang baharu.

"Terpulang kepada presiden parti. Itu hak beliau. Sesiapa pun yang jadi Menteri Besar kami akan sokong. Kami yakin dengan kebijaksanaan beliau (Najib)," katanya.